top of page

Hormati Jalur Gemilang, Bangga Dengan Hari Kemerdekaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 25
  • 2 min read

Updated: Aug 27


ree

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada tahun ini bakal disambut untuk kali yang ke-68 dengan tema "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni".


Sambutan Hari Kemerdekaan kebiasaannya dimeriahkan dengan kempen mengibarkan jalur gemilang sepanjang bulan Ogos, kempen ini dilakukan oleh rakyat Malaysia dengan menghias premis dan kenderaan menggunakan Jalur Gemilang.


Sepanjang tempoh kempen tersebut, agensi kerajaan sama ada peringkat persekutuan atau negeri akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada rakyat bagi menyemarakkan lagi semangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan.


Insiden merendahkan Jalur Gemilang


Namun disebalik keghairahan rakyat Malaysia menyambut kempen mengibar Jalur Gemilang, terdapat beberapa insiden kurang menyenangkan melibatkan perbuatan merendahkan ketinggian Jalur Gemilang dilakukan oleh segelintir rakyat yang kurang cakna.

Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Insiden pertama melibatkan akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, akhbar tersebut telah memohon maaf dan ilustrasi baru telah dipinda untuk penerbitan semula


Kesalahan turut dilakukan oleh Pas Terengganu yang mencetuskan kontroversi berikutan memaparkan logo bintang pada Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap semasa himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025, permohonan maaf turut dilakukan sejurus menyedari berkenaan kesalahan tersebut.


Terkini adalah insiden melibatkan pekerja Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik di dalam premis sekolah tersebut, Lembaga Pengelola Sekolah tersebut telah memohon maaf secara terbuka terkait insiden tersebut.


Kejadian yang berulang kali berlaku ini menimbulkan pertanyaan berkenaan sejauh manakah penghormatan terhadap Jalur Gemilang telah disematkan dalam kalangan rakyat Malaysia.


Tidak sepatutnya diremehkan


Jalur Gemilang tidak sepatutnya diremehkan oleh rakyat Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Lambang Dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 telah menjadi peruntukkan sewajarnya bagi mencegah perbuatan meremehkan Jalur Gemilang.


Ternyata peruntukkan undang-undang semata-mata tidak mampu untuk menimbulkan kesedaran segelintir rakyat Malaysia terhadap ketinggian kedudukan Jalur Gemilang sebagai lambang kemegahan negara.


Kerajaan Madani sedar bahawa penerapan kesedaran berkenaan sifat dan ketinggian Jalur Gemilang perlu diterapkan semenjak dari bangku sekolah dalam kalangan rakyat Malaysia.


Kesedaran ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya, malangnya wujud segelintir rakyat Malaysia yang meremahkan usaha murni tersebut.


Seharusnya seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa Jalur Gemilang merupakan perlambangan kedaulatan tanahair tercinta kita, meremehkan Jalur Gemilang seumpama meremehkan tanah tumpah darah tempat kita dilahirkan.


Tiada cara lain yang dapat dilakukan secara simbolik untuk menunjukkan perasaan cinta rakyat Malaysia kepada tanahair melainkan dengan cara menghormati dan meninggikan kedudukan Jalur Gemilang.


Bangga dengan Jalur Gemilang


Setelah 68 tahun menyambut Hari Kemerdekaan, tidak seharusnya wujud insiden yang tidak disengajakan melibatkan perbuatan meremehkan kedudukan Jalur Gemilang, sebagai rakyat tanah air tercinta ini seharusnya kita lebih peka untuk menghormati ketinggian Jalur Gemilang.


Niat baik rakyat Malaysia mengibarkan jalur gemilang adalah sangat diraikan dan dipuji, namun kesilapan meremehkan kedudukan jalur gemilang tidak seharusnya terjadi demi mengelakkan polemik yang tidak perlu sepanjang sambutan Hari Kemerdekaan.


Berbekalkan semangat dan kesedaran tersebut, maka rakyat Malaysia digalakkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68 dengan sifat tanggungjawab dan kepekaan.


Semoga usaha kecil untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh tanggungjawab dan kepekaan mampu untuk memperkukuhkan semangat patriotisme kita terhadap tanahair tercinta.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page