Hormat mandat rakyat, fokus isu pentadbiran, ekonomi baki penggal


Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menghabiskan baki tempoh pentadbiran dengan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat berbanding memikirkan cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, penggal yang berbaki setahun lagi perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk memberi fokus kepada pentadbiran negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Bagi kita, kita nak fokus pada pentadbiran negara dan kita nak pastikan bahawa baki penggal yang kita ada ini, kita buat terbaik untuk rakyat.
"Banyak kerja lagi yang kita kena buat dan ada bermacam-macam cabaran ekonomi yang mungkin kita akan lalui. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nak fokus kepada perkara tersebut," katanya dipetik di Ayer Keroh pada Sabtu.
Azman turut menegaskan, kestabilan kerajaan penting bagi memastikan usaha membina negara dapat diteruskan tanpa terlalu dibebani persaingan politik.
Malah katanya, kestabilan itu dimanfaatkan sepenuhnya Perdana Menteri yang kini sedang berusaha membuka lebih banyak peluang pelaburan ke Malaysia, selain meneroka peluang pelaburan di negara-negara anggota BRICS menerusi Sidang Kemuncak BRICS demi kebaikan negara yang manfaatnya untuk rakyat.
"Dulu, sebelum 2018, kita malu kalau Malaysia dikaitkan dengan negara yang terlalu teruk dengan rasuah. Sekarang ini Perdana Menteri dah buat yang terbaik untuk negara kita
"Kerajaan Perpaduan perlu mencari titik persamaan berbanding menonjolkan perbezaan. Jadi bagi saya, kita hormati mandat rakyat. Satu penggal, kita habiskan satu penggal," katanya.




Comments