top of page

Hj Hadi umum Ketua Pembangkang, lemahkan wibawa Dr Samsuri calon PM?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

Keputusan Pas mengumumkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali menggalas jawatan Ketua Pembangkang baru baru ini dilihat memberi kesan tidak baik terhadap usaha pembangkang menampilkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai wajah baharu kepimpinan mereka.


Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, perkembangan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai struktur dan hierarki kuasa dalam gabungan berkenaan, malah berpotensi menjejaskan naratif yang selama ini cuba dibina berhubung kepimpinan pelapis pembangkang dan kekuatan imej Dr Samsuri.


"Apabila Ahli Parlimen Marang (Hj Hadi) sendiri mengumumkan pelantikan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa beliau masih merupakan figura paling berpengaruh dalam menentukan keputusan penting pembangkang. Sama ada persepsi itu tepat atau tidak, itulah gambaran yang terbentuk di mata rakyat.


"Apa yang lebih menarik, keputusan tersebut hadir ketika terdapat usaha untuk membina imej Dr Samsuri sebagai antara tokoh masa depan dan calon Perdana Menteri dari pembangkang.


"Namun apabila perubahan besar melibatkan kedudukannya diumumkan oleh pemimpin lain, ia menimbulkan persoalan tentang sejauh mana pengaruh dan autoriti yang dimiliki beliau dalam gabungan tersebut," katanya kepada Suara Keadilan hari ini.


Justeru, menurut Aiman, isu tersebut bukan sekadar berkaitan jawatan tetapi turut melibatkan persepsi rakyat terhadap kedudukan dan pengaruh sebenar seseorang pemimpin terutama Hj Hadi yang dilihat seperti 'Mullah' dalam Pas dan amat ditaati oleh ahli.


Katanya, dengan Hj Hadi mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang maka dengan sendirinya Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN yang juga Menteri Besar Terengganu dilemahkan, dan tidak lagi diyakini oleh rakyat kewibawaannya.


Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

"Dalam politik, persepsi sering kali sama penting dengan realiti. Jika rakyat melihat kuasa sebenar berada di tangan individu tertentu meskipun beliau tidak memegang jawatan tertinggi dalam struktur rasmi maka rakyat akan menilai bahawa pusat kuasa sebenar berada pada individu tersebut dan bukannya pada jawatan yang diwujudkan.


"Sebab itu saya melihat keputusan ini memberi kesan yang kurang baik kepada usaha pembangkang untuk menampilkan Dr Samsuri sebagai wajah baharu kepimpinan mereka," katanya.


Pada 13 Jun lalu, Hj Hadi berkata parti itu bersetuju meneruskan kedudukan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen Pas dan gerakan Reset yang diterajui Hamzah.


Menurut Hj Hadi, keputusan itu tidak dibuat oleh Pas secara bersendirian, sebaliknya selepas mendengar pandangan wakil rakyat lain yang bersama dalam blok pembangkang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page