Hj Hadi tidak konsisten, pemimpin Pas laku kesalahan tetap berkuasa - Amidi
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Tulisan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa negara sedang menghadapi krisis maruah dalam kepimpinan dibidas banyak pihak.
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, kenyataan Hj Hadi berhubung isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri Najib Razak yang ditolak mahkamah tempoh hari dan mengaitkan pula dengan pengampunan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2018 lalu, telah diulas secara semberono dan tersasar fakta.
"(Memang) kedua-duanya membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun natijahnya berbeza. Satu mendapat pengampunan penuh dan satu lagi tidak," katanya dalam kenyataan.
Namun begitu, Amidi mempersoalkan kefahaman Hj Hadi terhadap perbezaan asas antara kedua-dua kes berkenaan.
"Saya musykil, di manakah letaknya kebijaksanaan Haji Hadi dalam memahami isu ini. Mahkamah akur dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan atau meringankan hukuman Datuk Seri Najib bukan menolak bulat-bulat.
"Cuma kedudukan Titah Adendum yang diputuskan perlu dinyatakan dengan jelas dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan (bagi membolehkan Najib ditahan di rumah)," jelasnya.
Tambah beliau, ruang untuk mengemukakan rayuan berkaitan Titah Adendum itu masih wujud, khususnya ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memegang jawatan sebagai Ketua Negara.
Mengulas pengampunan penuh yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat secara jelas dan sah melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Namun, katanya, ulasan mendakwa Pakatan Harapan (PH) melantik pemimpin seorang yang tidak bermaruah, yang telah mengaku salah dan memohon pengampunan terhadap kesalahannya, adalah tidak wajar.
"Atas dasar itu, Haji Hadi menyerang Datuk Seri Anwar dengan label tidak bermaruah, (kalau begitu) maka timbul persoalan, apakah sikap beliau terhadap hukuman denda yang dikenakan ke atas YB Dr Mastura kerana memfitnah?" soalnya.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi Pas dalam isu maruah kepimpinan dengan merujuk beberapa kes melibatkan pemimpin parti itu sendiri.
"Atas asas yang sama, sepatutnya Dr Mastura dilucutkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil. Begitu juga isu Datuk Seri Sanusi yang memohon maaf kerana memfitnah dan memperlekeh institusi diraja, serta kes YB Razman yang didapati bersalah memfitnah berulang kali tetapi masih kekal sebagai pemimpin utama Pas Perak," katanya.
Menurut Amidi, sikap memilih bulu dalam menilai asas maruah telah menjatuhkan kredibiliti kepimpinan ulama Pas.
"Sikap yang tidak konsisten ini menjatuhkan kredibiliti kepimpinan ulama itu sendiri. Dari sudut lain, itulah ibarat ludah yang dijilat kembali oleh Haji Hadi berkali-kali tanpa rasa bersalah," katanya.
Sehubungan itu Amidi mengajak semua pihak bermuhasabah dan memohon perlindungan daripada kemurkaan Allah, sambil memetik firman Allah dalam Surah as-Saff ayat 3:
“Sangatlah besar kebenciannya di sisi Allah — kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”





