top of page

Hj Hadi pencetus kemelut politik Perlis, gagal uruskan kuasa?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa menjadi pencetus utama kemelut politik di Perlis selepas gagal mengurus kuasa selain membiarkan konflik dalaman parti berlarutan sehingga membawa kepada penghentian keahlian Pas kepada tiga wakil rakyat, cadangan pilihan raya kecil dan peletakan jawatan Menteri Besar.


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, krisis politik di negeri itu bukan berpunca daripada tekanan luar atau serangan musuh politik sebaliknya tercetus akibat kegagalan Pas di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Marang itu.


Kekeliruan bermula apabila Abdul Hadi secara terbuka membangkitkan dakwaan terdapat projek tidak mematuhi peraturan serta mempunyai unsur rasuah, namun gagal mengemukakan penjelasan berfakta dan telus, katanya.


"Apabila tuduhan berat dilemparkan tanpa susulan yang bertanggungjawab, rakyat berhak mempersoalkan kejujuran dan konsistensi kepimpinan Pas.


"Lebih mengelirukan apabila naratif kemudiannya berubah dengan mendakwa Menteri Besar pula ‘dizalimi’," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mahfuz menegaskan Presiden Pas itu tidak boleh pada masa sama mencetuskan keraguan terhadap integriti pentadbiran negeri dan kemudian tampil sebagai pembela yang meminta simpati, sambil meletakkan kesalahan kepada pihak lain.


"Krisis ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil keputusan dan kegagalan kepimpinan yang berterusan," katanya.


Tambah beliau, krisis tersebut mendedahkan kegagalan Pas memisahkan antara kuasa politik, kepentingan peribadi dan pengurusan parti, sekali gus merosakkan imej Kerajaan Negeri dan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan parti itu mentadbir secara berintegriti dan profesional.


Mahfuz menegaskan rakyat Perlis tidak memerlukan retorik, simpati terpilih atau kenyataan bercanggah, sebaliknya menuntut kepimpinan yang berani bertanggungjawab, konsisten dan sanggup mengakui kesilapan.


"Ini bukan isu dizalimi atau tidak dizalimi. Ini isu kegagalan kepimpinan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page