top of page

Hj Hadi lantik Ketua Pembangkang: Siapa sebenarnya pimpin PN?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jun 14
  • 2 min read

Pertukaran Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang dicatur oleh pemimpin Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dikritik oleh pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (gambar) berkata pengumuman Presiden Pas, Hj Hadi Awang menggantikan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh sebulan menimbulkan persoalan besar berhubung siapa sebenarnya yang memimpin PN.


"Pengumuman Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini yang “memecat” Pengerusi Perikatan Nasional sebagai Ketua Pembangkang dengan melantik semula Datuk Seri Hamzah telah menimbulkan persoalan yang sangat serius iaitu siapakah sebenarnya Pengerusi PN?," tanya beliau dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, situasi tersebut merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara apabila seorang Ketua Pembangkang hanya memegang jawatan tidak sampai sebulan selepas dilantik pada 16 Mei 2026.


"Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, Ketua Pembangkang hanya bertahan selama 28 hari sahaja, malah kredibiliti beliau sebagai Ketua Pembangkang tidak pernah teruji pun di dalam (perbahasan) Parlimen," katanya.


Dalam masa sama, beliau turut menyentuh kenyataan bahawa Pas dikatakan telah “menceraikan” Bersatu namun masih kekal bersama PN dan mencatur hal ehwal dalaman gabungan itu yang menurutnya mencerminkan kelemahan dalam kepimpinan gabungan tersebut.


"Sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini bahawa penyelesaian hubungan Pas-Bersatu akan menjadi kayu pengukur kepada kewibawaan Pengerusi PN.


"Namun dengan pengumuman tersebut, jelas Ahmad Samsuri gagal mengemudi PN dengan baik," katanya.


Faiz turut mendakwa bahawa situasi itu memperlihatkan Dr Samsuri sebagai “lame duck chairman” serta menunjukkan PN sebagai sebuah koalisi yang tidak stabil.


"Rakyat tidak boleh yakin kepada PN untuk memerintah negara kerana ketidakstabilan yang wujud," katanya.


Beliau juga memberi amaran bahawa keadaan tersebut berpotensi mengulangi episod ketidakstabilan politik negara seperti yang berlaku sebelum ini, termasuk peristiwa Langkah Sheraton pada 2020.


"Lebih parah lagi, situasi ini sangat bahaya kepada negara jika PN memerintah kerana setiap keputusan kerajaan boleh ditentukan dan diubah oleh Presiden Pas," katanya lagi.


Sehubungan itu, AMANAH menegaskan bahawa kestabilan dan kejelasan kepimpinan merupakan faktor penting dalam memastikan keyakinan rakyat terhadap sesebuah gabungan politik untuk mentadbir negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page