Hj Hadi cuba tutup kelemahan, Kuala Lumpur bukan punca masalah - Mahfuz
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh Kuala Lumpur sebagai punca masalah negara kerana adanya Pakatan Harapan (PH) dan DAP di pusat pentadbiran negara disifatkan sebagai dalil murahan dan politik sempit pemimpin parti pembangkang itu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata tuduhan itu dilemparkan semata-mata untuk menutup kelemahan Pas sendiri.
"Kuala Lumpur bukanlah punca masalah sebaliknya simbol kepelbagaian, kemajuan, pusat awal pentadbiran negara selepas merdeka dan nadi ekonomi yang menggerakkan seluruh Malaysia.
"Menyalahkan Kuala Lumpur bererti menyalahkan jutaan rakyat termasuk anak-anak dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan negeri lain yang mencari rezeki di ibu kota," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz, hakikat sebenar masalah negara berpunca daripada kegagalan kepimpinan yang menolak politik berasaskan dasar dan idea.
"Pas memilih jalan mudah menuduh bandar, menyemai kebencian desa terhadap kota sedangkan ketika mereka berada dalam kerajaan, Kuala Lumpur jugalah yang menjadi pusat kuasa mereka. Kepala Pak Haji yang bermasalah, bukan Kuala Lumpur," katanya.
Beliau menegaskan, tuduhan ke atas Kuala Lumpur sebenarnya adalah tuduhan terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri.
Katanya, wajah sebenar Pas ialah parti yang tidak mampu berdepan dengan hujah dan dasar lalu memilih retorik menyalahkan tempat serta masyarakat.
"Rakyat tidak mahu lagi politik menyalahkan. Rakyat mahu penyelesaian. Jika Pas benar-benar serius mahu menyelamatkan negara, buktikan dengan dasar yang lebih baik, bukan dengan melempar fitnah kepada Kuala Lumpur. Tolong buang masalah dalam kepala Pak Haji," tegasnya.
Oleh itu Mahfuz menyeru agar Pas menghentikan memainkan politik lapuk.
"Cukup-cukuplah Pas dengan politik menyemai kebencian. Malaysia memerlukan politik matang, bukan politik menuding jari," katanya.
Terdahulu kenyataan Abdul Hadi yang mengundang kecaman itu dibuat ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada minggu lalu.
Beliau membacakan serangkap pantun:
"Saya hadiahkan serangkap pantun, dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah. Sebab Kuala Lumpur ni tempat punca masalah di bawah DAP, PH dan rakan-rakannya."
Pantun itu mencetuskan kekecohan hampir tujuh minit apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan, termasuk Chong Zhemin (PH-Kampar) dan RSN Rayer (PH-Jelutong), bangkit membantah kenyataan tersebut yang dianggap tidak relevan dengan perbahasan dan hanya menanam kebencian terhadap masyarakat bandar.









Comments