Hina sahabat Rasulullah jejas akidah, menyalahi adab - MAIS
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan tindakan menghina sahabat Rasulullah SAW adalah menyalahi adab sekali gus menjejaskan akidah.
Pengerusi MAIS Datuk Setia Salehuddin Saidin (gambar) berkata, pihaknya menyokong kenyataan Jabatan Mufti Selangor berhubung kewajipan memuliakan sahabat Rasulullah serta larangan menghina dan merendahkan martabat mereka.
"Sebagai pihak berkuasa utama berkaitan agama Islam di Selangor, MAIS memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kemuliaan para sahabat Rasulullah.
"Tindakan mengeluarkan kenyataan yang sedemikian hanya menimbulkan pertikaian dan perpecahan di kalangan umat Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama parti Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mencetus kemarahan rakyat apabila membuat kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad.
Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) kemudian tampil membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.
Sementara itu, Salehuddin mengingatkan semua pihak supaya bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam umat Islam.
MAIS juga menyeru umat Islam bersatu padu dan tidak bertelingkah dengan isu dan perkara cabang dalam agama Islam sehingga menjejaskan keharmonian dan penyatuan dalam kalangan umat Islam.



Comments