Hina sahabat Nabi: Sikap ambil mudah Hj Hadi malukan institusi ulama
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Keputusan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekadar memberikan “peringatan” terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Rasulullah s.a.w disifatkan memalukan institusi ulama dan mengecewakan umat Islam.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata tindakan disiplin lebih tegas sepatutnya dikenakan terhadap Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
"Keputusan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekadar memberikan ‘peringatan’ tanpa sebarang tindakan disiplin tegas terhadap Nik Muhammad Zawawi, amat mengecewakan dan menimbulkan persoalan besar dalam kalangan umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, kesilapan membawa naratif yang didakwa menghina dan memfitnah sahabat Nabi Muhammad s.a.w iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali bukanlah keterlanjuran kecil atau isu khilafiah semata-mata.
"Ia melibatkan asas akidah dan penghormatan kepada institusi keagamaan yang menjadi pasak umat Islam," katanya.
Beliau turut menyifatkan alasan bahawa Nik Zawawi “terpengaruh dengan penulisan sejarah” sebagai pembelaan yang lemah dan tidak munasabah bagi seorang tokoh yang memegang jawatan penting dalam Majlis Syura Ulama Pas.
"Sebagai badan tertinggi yang menapis dasar dan fatwa parti, rakyat berhak mempersoalkan bagaimana seorang yang gagal menapis kisah dongeng sejarah boleh diletakkan sebagai ketua pentadbir kepada institusi ulama," katanya.
Mahfuz berkata, sikap bertolak ansur yang ditunjukkan kepimpinan Pas memperlihatkan wujudnya amalan dwi-standard dalam parti itu.
"Parti yang sering mendakwa sebagai pembela agama dilihat memilih bulu; bersikap agresif apabila mengkritik pihak lawan, namun bertukar menjadi apologetik dan pelindung apabila kesalahan besar dilakukan oleh pemimpin kanan sendiri," ujarnya.
Beliau menegaskan, sekiranya Pas benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan syiar Islam mengatasi kepentingan politik, Nik Zawawi sepatutnya direhatkan atau dilucutkan jawatan daripada Majlis Syura Ulama.
Dalam pada itu, Mahfuz turut menuntut siasatan dan tindakan tegas oleh pihak polis serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tangan politik.
"Tanpa sebarang pendakwaan, golongan seperti ini akan merasakan mereka sahaja yang menjadi penentu kepada kesucian Islam," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pelbagai pihak mendesak tindakan diambil terhadap Nik Zawawi susulan ucapannya dalam satu ceramah di Terengganu yang menyentuh mengenai perlakuan sahabat Rasulullah s.a.w sebelum memeluk Islam.
Dalam ceramah itu, beliau didakwa mengeluarkan pandangan bahawa terdapat sahabat Nabi pernah menjadi “bapa ceti” dan terlibat dengan perbuatan “zina”.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu kemudian tampil memohon maaf atas kenyataan berkenaan.




Comments