top of page

Hina sahabat Nabi boleh merosakkan adab masyarakat - YADIM

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • May 14
  • 1 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius tindakan mempergunakan nama sahabat Rasulullah S.A.W sebagai bahan sensasi bagi menarik sokongan.


Yang Di-Pertuanya, Datuk Dr Hasan Bahrom (gambar) berkata, tindakan seperti itu bukan sahaja dibimbangi akan melahirkan masyarakat yang semakin hilang rasa hormat terhadap institusi agama dan tokoh malah dikhuatiri membawa kepada menormalisasikan budaya penghinaan, mencairkan sensitiviti umat serta merosakkan nilai adab.


"Merujuk sahabat Rasullullah SAW sebagai tidak bermoral sebelum keislaman mereka adalah tindakan tidak bertanggungjawab malah mencerminkan contoh yang tidak baik daripada individu yang mengungkapkannya," katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mencipta kontroversi apabila mengaitkan sahabat Nabi SAW dengan istilah "bapa ceti" dan "kaki zina" dalam satu ceramah politik minggu lalu.


Susulan desakan dan tekanan daripada banyak pihak, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu kemudiannya menarik semula ucapannya dan memohon maaf.


Sementara itu, Dr Hasan Bahrom dalam kenyataannya menyeru pempengaruh media sosial, pendakwah dan pencipta kandungan memainkan peranan membina masyarakat berilmu serta beradab.


Dalam masa sama masyarakat juga tegasnya perlu lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti cercaan dilemparkan terhadap sahabat Rasulullah s.a.w.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page