Himpunan: Percubaan pembangkang calar imej PMX, Malaysia makan diri
- Suara Keadilan

- Aug 2
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Percubaan Perikatan Nasional (PN) untuk mencemarkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) melalui himpunan ‘Turun Anwar’ bukan sahaja gagal menarik perhatian rakyat, malah tidak membawa impak yang signifikan di peringkat antarabangsa.
Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Dr Faiz Na’aman berkata, walaupun media antarabangsa seperti CNA dan Al-Jazeera membuat liputan terhadap himpunan 26 Julai lalu namun isu yang dibangkitkan tidak mendapat perhatian berpanjangan dan tidak memberi kesan terhadap kestabilan politik negara.
"Mereka cuba mencalar imej Malaysia sebagai kerajaan yang stabil dan berwibawa, tetapi gagal. Malaysia masih dilihat sebagai negara berkecuali yang dihormati, malah terus dipercayai oleh kuasa-kuasa besar.
"Kalau pembangkang cuba rendahkan peranan PMX di pentas dunia, ia jelas ‘backfire’. Sebaliknya, rakyat dan masyarakat antarabangsa semakin kagum dengan kepimpinan Malaysia," kata Dr Faiz kepada Suara Keadilan dalam rumusannya selepas seminggu himpunan Turun Anwar.
Sebaliknya, kata beliau, usaha Malaysia di bawah kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN telah meningkatkan maruah negara di mata dunia apabila berjaya mendamaikan dua negara jiran, iaitu Thailand dan Kemboja yang sedang berperang.
Inisiatif tersebut juga katanya, diiktiraf secara terbuka oleh Presiden Indonesia dan pentadbiran antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat dan China.

"PM telah selamatkan nyawa (penduduk Thailand, Kemboja) dalam krisis antarabangsa dan ekonomi negara (Malaysia) dalam rundingan tarif.
"Selain usaha damai, kejayaan kerajaan mengurangkan tarif perdagangan Amerika Syarikat terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus turut menunjukkan kebijaksanaan diplomatik negara.
"Ini adalah tindakan yang Islamik dan terpuji. Sepatutnya kita bersyukur, bukan terus dipengaruhi propaganda murahan..Ini sebagai pencapaian besar yang membuktikan keupayaan Malaysia berunding di pentas global," ujarnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan tidak matang segelintir pemimpin pembangkang termasuk tindakan menyiarkan karikatur sinis dan mempertikai pakaian PM, sebagai cerminan tahap politik murahan yang cuba dimainkan mereka.
"Bila mereka tiada idea dan tidak mampu tampilkan alternatif, mereka serang hal remeh seperti baju batik PM (ketika membentang RMK-13 di Parlimen) yang kononnya dari Indonesia. Ini hanya memperlihatkan ceteknya mentaliti mereka," tegas beliau.
Justeru, Dr Faiz menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tanpa menghiraukan gangguan politik tidak matang yang dimainkan pihak pembangkang.
Pada 26 Julai lalu, Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional bertujuan membela rakyat terbukti hanya satu cubaan terdesak mencetus persepsi negatif, bagaimanapun gagal memecahkan sokongan terhadap kerajaan.









Comments