Himpunan Pendekar Madani di P Pinang angkat martabat silat
- Suara Keadilan

- Sep 17
- 1 min read

Ribuan anak-anak murid silat dari pelbagai perguruan memenuhi Politeknik Seberang Perai di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam Himpunan Pendekar Madani yang menghimpunkan lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara, sekali gus mengangkat martabat seni pusaka bangsa Melayu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan menzahirkan rasa bangga dengan penyertaan besar-besaran itu yang mencerminkan kesatuan dan semangat mempertahankan warisan bangsa.
"Bangga dan gembira melihat ribuan anak-anak murid silat rentas perguruan yang memenuhi segenap ruang di Politeknik Seberang Perai berhimpun bersama lebih 10,000 anak-anak Pendekar MADANI daripada pelbagai persatuan silat untuk mengangkat martabat pusaka agung bangsa Melayu," katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mempelajari silat sekitar tahun 1970-an ketika menjadi Guru Besar di Yayasan Anda Akademik.
"Semasa dalam perjalanan ke Doha, PMX ada kongsikan pengalaman semasa belajar silat bersama Almarhum Ustaz Haji Hanafi Ahmad.
"Sebagai bukti, saya kongsikan buku Daftar Ahli tahun 1974 menunjukkan pendaftaran PMX (No 234) sebagai ahli silat cekak," jelasnya.
Menurut beliau, dokumen tersebut juga mencatatkan nama Zulkifli bin Hassan pada No 232, namun disifatkan sekadar kebetulan.

"Masa itu, beliau bersama Persatuan Seni Silat Chekak Kedah Malaysia. Saya juga pernah belajar silat semasa zaman muda-muda dahulu," tambahnya lagi.
Himpunan bersejarah itu dilihat sebagai simbolik penghargaan kepada seni mempertahankan diri tradisi Melayu yang terus relevan dalam membentuk jati diri generasi muda di bawah gagasan Malaysia Madani.









Comments