Himpunan pembangkang hanya persembahan politik, gagal beri impak
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Himpunan parti pembangkang di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu disifatkan sebagai satu persembahan politik yang gagal mencapai matlamat dan tidak membawa sebarang impak terhadap kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun penganjur mendakwa kehadiran mencecah 500,000 orang, jumlah sebenar peserta tidak melebihi 20,000 orang, satu angka yang menurutnya langsung tidak mencerminkan sokongan rakyat Malaysia secara menyeluruh, demikian kata Ahli Parlimen Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah.
"Sehari selepas himpunan, Dataran Merdeka kembali seperti sediakala. Jalan dibuka semula, rakyat menikmati hujung minggu mereka, dan yang paling penting, Anwar Ibrahim masih Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jimmy, walaupun demonstrasi itu secara terang-terangan menyasarkan Perdana Menteri, kerajaan Madani tetap membenarkan penganjuran secara aman, selaras dengan komitmen terhadap prinsip reformasi dan kebebasan berhimpun seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun beliau menegaskan bahawa berbeza dengan perhimpunan yang disokong Pakatan Harapan seperti Bersih atau protes anti-GST yang mempunyai tuntutan jelas dan sah, himpunan pembangkang itu tidak mempunyai asas kukuh.

"Perdana Menteri dilantik secara sah selepas PRU-15 mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Jika benar pembangkang mahu beliau berundur, ada dua saluran undi tidak percaya di Parlimen atau pilihan raya umum. Parlimen kini bersidang, mengapa tidak mereka kemukakan usul?" soalnya.
Beliau menyifatkan kegagalan pembangkang membawa sebarang usul jelas di Dewan Rakyat atau menawarkan penyelesaian kepada isu negara sebagai bukti mereka ketandusan idea dan hanya mahu mengekalkan kelangsungan politik melalui retorik kosong.
"Malaysia kini berada di landasan ekonomi yang stabil. Inflasi terkawal, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan. Tetapi kestabilan ini hanya dapat diteruskan jika semua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik peribadi," tegasnya.
Menurut Jimmy, rakyat Malaysia semakin matang dan tidak mudah termakan dengan taktik politik bersifat provokatif yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada masa depan negara.
"Apa yang paling diperlukan negara ketika ini adalah kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi tetapi semua itu boleh musnah jika ahli politik pembangkang terus meletakkan kepentingan peribadi atau parti melebihi kepentingan negara," katanya.
コメント