Himpunan jalanan gagal: PN gagal tawar alternatif jelas – Dr Azmi Hassan
- Suara Keadilan
- Aug 3
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Penganjuran Himpunan "Turun Anwar" oleh pembangkang PN khususnya Pas dan Bersatu pada minggu lalu disifatkan sebagai gagal membawa sebarang impak politik mahupun mesej yang jelas kepada rakyat, menurut pakar geostrategik, Profesor Dr Azmi Hassan (gambar).
Beliau berkata, isu-isu yang diketengahkan semasa himpunan tersebut adalah perkara yang telah lama diketahui umum, malah katanya pandangan yang dicanangkan ‘pemikir pembangkang’ juga tidak memerlukan penyelesaian melalui demonstrasi jalanan.
"Kalau sekadar membangkitkan isu lama tanpa keperluan mendesak seperti ancaman keselamatan negara atau isu ekonomi, maka protes jalanan bukan medium yang sesuai.
"Menggunakan tema 'Turun Anwar' secara langsung menunjukkan hasrat untuk menumbangkan kerajaan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan baharu.
"Tetapi apabila mereka sendiri tidak mampu menampilkan calon Perdana Menteri yang boleh diyakini rakyat, ia menjadi liabiliti besar kepada pembangkang," katanya kepada Suara Keadilan.
Dr Azmi mengulas himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu yang tidak dirasai impaknya seminggu kemudian, apatah lagi untuk mencipta 'gelombang perubahan' menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Lebih buruk, katanya, kegagalan terbesar terletak pada strategi dan naratif utama penganjuran itu sendiri yang dilihat silap dari awal.
"Senario politik Malaysia menuntut pengundi mengetahui siapa bakal Perdana Menteri sebelum mereka mengundi, bukan selepas menang baru diumumkan.
"Ketidakmampuan Perikatan Nasional untuk mengemukakan calon yang disepakati bersama, termasuk tentangan dalaman daripada Pas menunjukkan kelemahan asas dalam blok pembangkang itu sendiri.
"Ini bukan sekadar kegagalan himpunan, tetapi mencerminkan kegagalan pembangkang itu sendiri dalam menawarkan alternatif kerajaan yang jelas dan diyakini rakyat," tambahnya.
Himpunan yang dianjurkan baru-baru ini biarpun digambarkan oleh PN berjaya menarik ratusan ribu peserta ke jalan raya namun hakikatnya hanya jalan di hadapan ikon Bangunan Sultan Abdul Samad sahaja dipenuhi penunjuk perasaan yang dianggarkan kira kira 25,000 orang.
Hal itu berbeza dengan himpunan BERSIH yang dianjur bersama oleh Pakatan Harapan setengah dekad lalu yang memenuhkan Kuala Lumpur dengan peserta baju kuning. Himpunan gagal minggu lalu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap hala tuju sebenar pembangkang dalam mendepani PRU akan datang.
Comments