Oleh: Abdullah Zaid
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Haziq Azfar Ishak menyarankan pihak berkuasa lebih berhati-hati mengendalikan himpunan aman susulan insiden membabitkan sekumpulan aktivis dan Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi.
Dalam satu kenyataan, Haziq berkata, insiden semalam sehingga menyebabkan kecederaan beberapa peserta bagi menuntut keadilan atas kematian Beng Hock dilihat tidak sewajarnya berlaku.
"Reaksi pihak berkuasa terhadap himpunan aman bagi penyerahan memorandum berkaitan mendiang Teoh Beng Hock semalam agak membimbangkan.
"Walaupun pihak berkuasa mengikut tatacara dan prosedur, ia wajar dilaksanakan berlandaskan keterbukaan, ihsan, dan empati selaras dengan pembawaan Kerajaan Madani.
"Kerajaan ini bukan sahaja perlu bersifat terbuka, tetapi juga harus dilihat dengan jelas bersifat terbuka dalam meraikan kerencaman pandangan sebagai sebuah negara demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjumpa keluarga mendiang Teoh Beng Hock, bekas Setiausaha Politik Exco Selangor dari DAP yang meninggal dunia dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
Perdana Menteri pada masa sama memberi jaminan, akan meneliti tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang dibawa kumpulan terbabit bagi menuntut keadilan kematian Beng Hock.
Beng Hock yang juga saksi SPRM, ditemui mati dan dipercayai jatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, beberapa jam selepas tiba untuk disoal siasat di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.
Comments