Himpunan aman peguam buktikan kebebasan bersuara terjamin
- Suara Keadilan

- Jul 15
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perhimpunan aman disertai kira-kira 300 peguam di Putrajaya semalam menjadi bukti bahawa Kerajaan MADANI terus mengamalkan prinsip keterbukaan serta menghormati kebebasan bersuara rakyat.
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar (gambar) berkata, perhimpunan anjuran Majlis Peguam Malaysia itu telah berlangsung penuh tertib dengan dibantu pihak polis yang memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang perarakan.
"Tanpa sebarang kekecohan – hanya suara matang yang mendukung keadilan dan prinsip institusi bebas mencerminkan kematangan institusi negara dalam menguruskan hak berhimpun secara aman sebagaimana dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"Ini adalah langkah kecil tetapi penuh makna ke arah membina sebuah Malaysia yang lebih demokratik, adil dan inklusif," katanya menerusi satu kenyataan.
Perhimpunan berkenaan menyaksikan ahli Majlis Peguam berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri.
Perarakan bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Memorandum diterima Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman
Turut hadir ke perhimpunan tersebut ialah Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar sebagai solidariti kepada suara masyarakat sivil.
"Kehadiran beliau bukan sekadar memberi sokongan, tetapi membuktikan bahawa pemimpin reformasi berdiri seiring dengan rakyat dalam memperjuangkan institusi yang telus dan adil.
"Komitmen KEADILAN dalam agenda reformasi institusi tidak hanya retorik, tetapi dizahirkan melalui sokongan langsung kepada usaha rakyat memperjuangkan sistem keadilan yang telus dan bebas," tambahnya.
Beliau menerusi kenyataan sama merakamkan penghargaan atas kematangan semua pihak terutama Majlis Peguam Malaysia, peserta himpunan dan pihak keselamatan yang berjaya memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman dan penuh
Menerusi kenyataan sama beliau menzahirkan penghargaan terhadap Majlis Peguam Malaysia, pihak keselamatan serta semua pihak yang menjayakan himpunan ini dalam suasana aman.









Comments