Hilang kerja: KESUMA perhebat intervensi pasaran buruh
- Azuan Ab Rahman

- Jun 15
- 2 min read

Seramai 38,953 individu kehilangan pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, dedah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), golongan lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes bersamaan 39.6 peratus dengan sebahagian besar membabitkan pekerja berumur antara 25 hingga 39 tahun.
"Ini meliputi beberapa sektor utama ekonomi, khususnya sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor, selain aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.
"Keadaan itu sebahagian besarnya dipengaruhi langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa," katanya dalam kenyataan.
Menurut Ramanan, kementeriannya memandang serius peningkatan kes kehilangan pekerjaan (LOE) yang direkodkan. Sehubungan itu, pelbagai langkah intervensi telah dan sedang dipergiat bagi membantu pekerja terjejas mendapatkan kerja baharu termasuk dengan meningkatkan kemahiran serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam menghadapi krisis geopolitik global.
"KESUMA terus memantau secara rapi perkembangan ekonomi dan geopolitik global, termasuk ketidaktentuan yang berpotensi memberi kesan kepada sektor tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.
"Langkah pemantauan ini penting bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan untuk mengurangkan risiko terhadap pekerjaan serta memastikan tenaga kerja negara kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan pasaran," tambahnya.
Sementara itu beliau menegaskan, pihaknya akan memantau trend pasaran buruh secara berterusan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan. Pihaknya turut bakal memperkenal tiga inisiatif bagi mempercepatkan peralihan tenaga kerja ke sektor yang mempunyai permintaan lebih tinggi.
"Pertama adalah melalui peralihan kerjaya dan profil pekerja/sokongan kerjaya yang mana platform MYFutureJobs menghubungkan pekerja LOE dengan jawatan bersesuaian.
"Maklumat pasaran buruh diperoleh melalui LMX dan MYFutureJobsGalaxy, membolehkan pekerja membuat keputusan kerjaya berasaskan data, memahami keadaan pasaran semasa, serta merancang laluan kerjaya yang kompetitif dan fleksibel
"Inisiatif kedua membabitkan program peningkatan kemahiran dengan PERKESO menyediakan program latihan untuk membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada selaras dengan keperluan sektor yang berkembang, membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan permintaan industri dan meningkatkan kebolehpasaran.
"Manakala Inisiatif ketiga merangkumi intervensi awal untuk sektor kritikal di mana PERKESO mengenal pasti sektor berpotensi terjejas dan melaksanakan intervensi awal bagi memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan cepat, memanfaatkan peluang peralihan kerjaya dan memperkukuh daya saing mereka," jelasnya.
Menerusi kenyataan sama, Ramanan menegaskan walaupun berdepan cabaran, pasaran buruh Malaysia kekal menunjukkan ketahanan yang kukuh dengan jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus, pada April lalu.
Kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) pula, katanya, berada pada tahap 70.9 peratus, merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita, sekali gus mencerminkan asas pasaran buruh yang masih kekal stabil dan berdaya tahan.




Comments