Hilang ibu bapa sekelip mata: Segerakan tindakan hukum pemandu mabuk
- Suara Keadilan

- May 15
- 2 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menegaskan bahawa tindakan tegas, segera dan tidak berkompromi perlu diambil terhadap pemandu mabuk serta pemandu di bawah pengaruh dadah, khususnya apabila perbuatan tersebut menyebabkan kehilangan nyawa orang awam.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang A. Doraisingam dan A. Menegah, pasangan suami isteri yang terkorban dalam tragedi jalan raya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur akibat tindakan seorang pemandu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.
Menurut Yuneswaran, pertemuan bersama keluarga mangsa amat meruntun jiwa apabila tiga beradik kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa ibu bapa serta kehilangan tempat bergantung dalam sekelip mata.
"Anak sulung lelaki kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia muda. Anak kedua baru sahaja menamatkan pengajian, manakala anak bongsu pula baru memulakan langkah mengejar masa depan. Dalam sekelip mata, mereka kehilangan ibu, ayah, kasih sayang dan tempat bergantung hidup," katanya.
Yuneswaran menegaskan tragedi seperti ini tidak boleh terus dianggap sebagai kes terpencil kerana setiap kelemahan penguatkuasaan hari ini boleh menjadi punca kehilangan sebuah keluarga pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah lebih tegas, termasuk hukuman penjara mandatori yang lebih berat bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.
Ahli Parlimen Segamat itu turut mencadangkan penggantungan lesen seumur hidup terhadap pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius, selain memperhebat operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut secara besar-besaran, terutama pada waktu malam, hujung minggu dan musim perayaan.
Dalam masa sama, Yuneswaran berkata tindakan tegas juga perlu diambil terhadap premis penjualan arak tanpa lesen, termasuk penutupan premis, pembatalan lesen perniagaan dan larangan penjualan berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah serta institusi pendidikan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan had waktu penjualan alkohol serta menghentikan paparan terbuka produk alkohol di kaunter dan rak jualan, sebagaimana kawalan terhadap produk rokok. Penguatkuasaan terhadap penjualan kepada golongan muda juga perlu diperketatkan.
Selain itu, kajian menyeluruh terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan perlu dilaksanakan bagi memperuntukkan hukuman yang lebih berat, jelas dan spesifik terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
"Nyawa rakyat tidak boleh terus dipandang murah. Sudah tiba masanya negara mengambil pendirian tegas bahawa memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sekadar kesalahan jalan raya, tetapi ancaman kepada keselamatan awam," katanya.
Yuneswaran memaklumkan beliau akan terus mengikuti perkembangan keluarga mangsa dan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan dari semasa ke semasa.
Beliau turut berharap keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat keluarga mendiang, selain menyeru semua pihak agar mengambil iktibar daripada tragedi ini demi memastikan keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan negara.




Comments