HIKAM tolak usaha jatuhkan kerajaan secara tidak sah
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menolak sebarang usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak sah termasuk menerusi protes jalanan.
Pendirian itu dinyatakan mereka menerusi satu kenyataan bersama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan tersebut iaitu Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Menurut HIKAM, sebarang peralihan kuasa dalam negara perlu dilaksanakan menerusi saluran yang sah, iaitu pilihan raya yang adil, bebas dan demokratik.
Tambah mereka, sebarang usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak sah bukan sahaja akan menggugat kestabilan politik malah mengundang risiko terhadap ekonomi negara serta menambah penderitaan rakyat.
"Peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura serta suara rakyat.
"HIKAM dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang, tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0," menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan tersebut HIKAM juga menggesa rakyat agar terus mempertahankan kedaulatan demokrasi, menolak ketidakstabilan politik dan menyokong agenda pembangunan negara yang berasaskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama.
Gabungan itu turut mengingatkan pembangkang, supaya menjalankan peranan semak dan imbang dengan beradab dan melalui saluran perundangan yang dibenarkan.
Comentarios