
Peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w lebih 1400 tahun lalu mengajar umat Islam untuk sentiasa meneruskan perjuangan yang diyakini suci murni dengan mencari jalan untuk mencapai kemenangan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baharu Hijrah 1444 yang jatuh hari ini.
Katanya, peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w telah menjadi titik tolak yang penting dalam pembentukan awal sebuah ummah yang cekal, tabah menghadapi segala cabaran sehingga menjadi sebuah tamadun besar di kemudian hari.
"Hijrah mengajar kita mehnah dan tribulasi bukanlah jalan mati dalam perjuangan. Begitu juga kesusahan dan krisis yang kita hadapi harus ditangani dengan cermat dan berstrategi seperti mana yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang merupakan generasi terbaik Islam (khayra ummah).
"Usaha dan ikhtiar dengan bersungguh-sungguh bukanlah sia-sia, tetapi akan mendapat balasan yang seperti mana yang dijanjikan Allah SWT," katanya,
Justeru itu, Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN mahu umat Islam Malaysia memperbaharui azam tahun baharu untuk menjadi lebih dalam segala bidang diceburi pada tahun 1444H ini.
"Di kesempatan ini elok juga kita mengambil peluang untuk memperbaharui azam kita untuk menjadi seorang muslim yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi dan terus memberikan sumbangan kepada umat dan negara ini.
"Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menyambut Ma’al Hijrah 1444 kepada semua," katanya.