
Semangat reformasi yang sedikit luntur setelah parti menghadapi pengkhianatan Langkah Sheraton memberi dorongan kepada seorang doktor perubatan menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cabang Hulu Selangor.
Menurut pengasas Kumpulan SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajah, beliau berasa amat penting untuk mengembalikan perjuangan KEADILAN kepada landasannya bagi menguatkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
"Kesan daripada Langkah Sheraton yang bukan sahaja menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebaliknya telah memberi kesan mendalam kepada para pengundi serta penyokong termasuklah saya untuk (tidak) cepat percaya kepada segelintir wakil rakyat yang diberikan mandat.
"Ini juga menyebabkan saya tampil selepas Langkah Sheraton untuk terus perjuangkan hak dan suara rakyat yang semakin muak dengan permainan segelintir wakil rakyat yang mereka percayai sebelum ini.
"Bertitik tolak daripada peristiwa hitam inilah, kita perlu mengembalikan keyakinan rakyat dari akar umbi bagi menghidupkan kembali semangat reformasi dalam diri setiap dari kita, pembaharuan amat diharapkan oleh rakyat pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berharap 3,000 pemilih yang telah berdaftar dalam aplikasi ADIL serta pengundi fizikal di Cabang Hulu Selangor dapat memikirkan apakah yang terbaik untuk masa hadapan mereka.
Katanya, rakyat perlu didekati dan disantuni dengan idealisme KEADILAN untuk memastikan mereka menyokong parti dalam pilihan raya akan datang.
"Saya sentiasa berpandangan rakyat perlu didekati, disantuni dengan cara mengangkat kembali suara rakyat seiringan dengan idealisme KEADILAN.
"Kita perlu lebih agresif, jujur, kreatif dan memiliki sifat empati tinggi bagi mengupas masalah masyarakat selain mencari alternatif untuk menyakinkan rakyat bahawa kita boleh membantu mereka secara berkesan dan bukan omongan kosong.
"Setiap calon yang bertanding perlu berkempen dalam semangat kekeluargaan yang akhirnya memberi manfaat iaitu kekuatan kepada akar umbi .
"Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor dalam pemilihan parti bagi penggal 2022," katanya lagi.
Dr Sathia Prakash Nadarajan akan bersaing dengan Ketua Cabang Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui untuk menerajui cabang berkenaan dalam pengundian pada bulan hadapan.