Hidangan arak dalam majlis rasmi: MOTAC perlu beri penjelasan - BiPPA
- Suara Keadilan

- Oct 5
- 2 min read

Kontroversi Majlis Makan Malam Gala “Global Travel Meet 2025” yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kelmarin dan didakwa menghidangkan minuman keras ditegur Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Pengerusi BiPPA, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, tindakan tersebut mencemarkan imej kerajaan serta tidak selaras dengan aspirasi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kesejahteraan rakyat dan nilai moral dalam pentadbiran negara.
"Menterinya, YB Datuk Seri Tiong King Sing mesti bertanggungjawab dan memberikan penjelasan kenapa perkara seumpama ini boleh berlaku sedangkan ia adalah program rasmi Kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amidi, hidangan arak dalam program rasmi kerajaan bukan sahaja mencemar imej Malaysia, malah bercanggah dengan nilai harmoni dan kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada masyarakat majmuk negara ini.
"Hidangan arak dalam majlis rasmi seumpama ini mencemarkan imej Kerajaan Malaysia yang mahukan kesejahteraan untuk rakyatnya dan manusia sejagat," katanya.
Beliau turut menegur ketidakpekaan MOTAC terhadap aspirasi kepimpinan kerajaan semasa yang mementingkan keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan nilai moral.
"YBM Pelancongan, Seni dan Budaya tidak peka dengan aspirasi kepimpinan YAB Perdana Menteri hari ini. Dalam pelbagai pesona yang menggamit kehadiran pelancong, antara kelebihan Malaysia ialah ketenangan kehidupan malam yang tidak dicemari pemabuk-pemabuk yang berkeliaran," tegasnya.
Sehubungan itu, BiPPA menuntut agar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tampil memberikan penjelasan serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas insiden berkenaan.
Bagaimanapun dalam kenyataannya semalam, Tiong King Sing menafikan dakwaan bahawa arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan melibatkan MOTAC, sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Tiong menjelaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari dan hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
"Ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri. Sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara VM2026 ini.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa segala pengisian makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia," katanya.
Tambah beliau, peranan kementeriannya tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang turut diadakan pada malam tersebut.









Comments