top of page

Hiasan Krismas: Peniaga perlu dibantu dengan prosedur jelas, tidak mengelirukan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 21, 2025
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menegaskan proses dan prosedur kerajaan bagi peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu dipermudahkan dan diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan di lapangan, terutama dalam hal berkaitan perayaan agama pelbagai kaum di negara ini.

Menterinya Steven Sim Chee Keong (gambar) dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan peniaga Malaysia termasuk dalam sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dapat beroperasi dengan jelas tanpa tafsiran berbeza terhadap peraturan yang sedia ada.


"Usahawan perlu diberi kemudahan dan keyakinan untuk terus maju, sementara kerajaan memastikan prosedur yang mudah dan selari di semua peringkat.


"Ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk meningkatkan produktiviti, mempermudah birokrasi, memperluas capaian modal serta memperkukuh akses pasaran bagi PMKS di seluruh negara," jelasnya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata begitu sebagai mengulas penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, bahawa hiasan bertemakan Hari Natal atau Krismas di premis makanan dan hotel tidak melanggar syarat pensijilan halal JAKIM.


Zulkifli dilapor berkata, tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, namun ia perlu tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.


"Penjelasan Dr Zulkifli wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama agar pelaksanaan di lapangan konsisten tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang berbeza," katanya Sim pada Sabtu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page