top of page

Heritage Unseen 2026: Peluang faham cerita, nilai dan tradisi warisan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
3 hours ago
1 min read
Choon Man (tengah) memberi plak pengiktirafan hasil seni warisan. Diperhatikan oleh ADUN Rawang, Chua Wei Kiat (kanan sekali) dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (dua dari kiri)
Choon Man (tengah) memberi plak pengiktirafan hasil seni warisan. Diperhatikan oleh ADUN Rawang, Chua Wei Kiat (kanan sekali) dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (dua dari kiri)

Pameran Heritage Unseen 2026 bukan sekadar mengetengahkan keindahan perhiasan tradisional, malah menjadi wadah untuk mengajak masyarakat meneroka kisah di sebalik warisan budaya serta menghayatinya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan warisan budaya negara tidak hanya dilihat sebagai peninggalan masa lalu, sebaliknya terus hidup, dihargai dan relevan dalam kehidupan generasi masa kini.


"Pameran itu turut memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami cerita, nilai dan tradisi yang terkandung di sebalik setiap hasil warisan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara khazanah budaya negara untuk generasi akan datang.


"Heritage Unseen membawa kita melangkaui perhiasan tradisional untuk menyelami warisan budaya dengan lebih dekat, selain menggalakkan masyarakat meneroka dan menemukan kisah di sebalik tradisi yang diwarisi," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pelancaran Unseen 2026 yang dirasmikan oleh beliau di 168 Park Mall, Selayang pada Selasa.


Choon Man berkata, pihaknya juga kekal komited dalam mempromosikan serta memelihara warisan Malaysia menerusi kerjasama dengan komuniti, institusi berkaitan dan pelbagai pihak, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha berkenaan.


Katanya, kerjasama antara kerajaan, ahli akademik, komuniti dan sektor swasta merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian warisan budaya negara, selain menyediakan asas kukuh untuk memperkasakan usaha memartabatkan budaya Malaysia.


"Kerjasama ini penting bagi memastikan warisan kita terus dipelihara, dipersembahkan dan dapat dihayati oleh generasi akan datang," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Miri.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page