Dadah: Kawalan akses diperketat di lapangan terbang - Saifuddin


Kerajaan memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang termasuk melaksanakan saringan fizikal dan pemeriksaan bagasi 100 peratus bagi penerbangan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kebimbangan berkaitan keselamatan dan penyeludupan dadah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu antara tindakan jangka pendek yang dilaksanakan bagi tempoh sehingga enam bulan akan datang dengan tumpuan diberikan kepada destinasi penerbangan berisiko tinggi berdasarkan data dan kes yang dilaporkan.
"Destinasi yang seringkali berlaku insiden penyeludupan seperti di Indonesia dan beberapa destinasi lain yang kita klasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
"Sekarang, outboundnya dari KLIA, kita lakukan saringan fisikal head to toe terhadap orang dan juga pemeriksaan bagasi 100%," katanya dipetik ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat semalam.
Langkah itu susulan antara lain kes rampasan dadah yang dikaitkan dengan seorang juruterbang dari Malaysia yang berlepas dari KLIA sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kawalan keselamatan serta proses saringan terhadap warga penerbangan dan pengguna lapangan terbang.
Dalam konteks itu, Saifuddin berkata kerajaan turut memperkukuh saringan terhadap kakitangan penerbangan termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan pengendali darat.
Jelas beliau, saringan dadah dilakukan seawal proses pengambilan kakitangan selain semakan rekod dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesahkan latar belakang calon.
Pemeriksaan berkala dan secara rawak turut akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu kerajaan turut memperketat kawalan akses ke terminal lapangan terbang dengan mencadangkan tempoh sah laku kad akses yang dikeluarkan melalui proses e-vetting dipendekkan daripada lima tahun kepada dua tahun.
Beliau berkata kawalan terhadap akses yang membolehkan seseorang memasuki terminal merupakan antara perkara yang boleh dilaksanakan serta-merta.
"Ini kita anggap sebagai perkara yang dalam kawalan kita dan kita boleh buat serta-merta. Kita perketatkan," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu kehadiran anggota keselamatan di semua terminal turut dipertingkatkan dengan penugasan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah.
"Sekarang kawalan mulai hari kejadian sampai sekarang. Mereka berada di semua terminal kita, lengkap dengan bersenjata," katanya.
Saifuddin berkata kerajaan turut menyelaraskan perkongsian risikan antara agensi yang mempunyai fungsi keselamatan di lapangan terbang termasuk PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi berkaitan.
Katanya perkongsian maklumat itu akan diselaraskan berdasarkan magnitud ancaman dan modus operandi yang dikenal pasti.
"Sekarang kita selaraskan perkongsian maklumat risikan setelah kita klasifikasikan dari segi magnitud ancaman dan modus operandi," katanya.
Beliau berkata semua langkah berkenaan diselaraskan melalui Jawatankuasa Teknikal Bersama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian secara berkala.
Saifuddin berkata langkah yang diumumkan itu merupakan fasa pertama tindakan kerajaan untuk tempoh sehingga enam bulan sebelum pelaksanaan fasa kedua dan ketiga.
"Bila melibatkan pintu masuk negara, kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih besar termasuk soal keselamatan, kedaulatan dan nama baik negara.
"Sebab itu setiap insiden perlu kita ambil serius, lihat semula ruang yang ada dan perbaiki," katanya.




Comments