top of page

Hentikan pertelagahan sesama sendiri, fokus perjuangan parti - Faezuddin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 19
  • 2 min read
ree

Anggota KEADILAN digesa segera menghentikan pertelagahan sesama sendiri selepas dua bulan berlalunya Pemilihan 2025.


Menurut Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad, pertentangan hanya akan melemahkan parti pada jangka masa panjang, malah presiden pun telah membuat kenyataan agar hal hal yang merugikan itu diakhiri secepat mungkin.


"Presiden KEADILAN telah pun membuat kenyataan yang jelas mengingatkan semua pihak untuk move on dan melihat ke hadapan.


"Tidak perlu lagi diungkit atau dipanjangkan soal pemilihan yang sudah berlalu mahupun kehendak untuk menggantung atau memecat anggota tertentu. Presiden kata, move on. Maka, kita harus move on.

Faezuddin Puad
Faezuddin Puad

"Semua pimpinan dan anggota yang sayangkan parti wajib akur dan hormat saranan ini demi kebaikan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tegas Faezuddin, siapa pun yang menang atau kalah dalam pemilihan, semuanya masih dalam satu parti yang sama. Kalau benar sayangkan parti, katanya maka hentikan pergaduhan dan serang menyerang antara satu sama lain.


Ujarnya, anggota dan pimpinan parti wajib merapatkan saf perjuangan, dan kembali ke meja muafakat.


"Kita tidak akan kuat jika terus berpecah hanya kerana perbezaan mazhab politik dan pendapat yang sepatutnya boleh diraikan secara beradab.


"Sewajarnya masa, idea, pandangan dan tenaga seluruh pimpinan dan anggota dimanfaatkan untuk menggerakkan kekuatan akar umbi, membina strategi, dan mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada KEADILAN.


"Ini juga masa untuk kita perbanyakkan program menerangkan dasar dan bantuan kerajaan kepada rakyat serta lawan naratif jahat parti lawan.


"Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir. PRN lain di Melaka, Johor dan Pilihan Raya Umum juga akan menyusul tak lama lagi maka jentera parti amat perlu diperkuatkan," katanya.


Dalam kenyataan sama beliau turut mengingatkan KEADILAN diasaskan 25 tahun lalu untuk memperjuangkan agenda Reformasi, membela nasib rakyat, dan bekerja keras membina sebuah negara berjaya dan adil untuk rakyat.


Ironinya, kata beliau, kalau setiap hari anggota disibukkan untuk berbalas-balas sindiran, cacian dan fitnah maka gerak kerja parti akan terhenti dan berhadapan masalah dalam pilihanraya.


"Rakyat sedang memerhati. Rakyat akan berfikir, seandainya kita tidak boleh uruskan perbezaan pendapat dalam parti dengan baik, masakan rakyat akan percaya kita boleh urus negara ini dengan baik?


"Jika kita masih terus leka bergaduh sesama sendiri, jangan salahkan sesiapa jika rakyat menolak kita nanti," katanya.


Tegas Faezuddin lagi, rakyat mahu lihat seluruh saf pimpinan dan anggota parti bekerja bukannya bertelagah sesama sendiri dan mengabaikan janji mahu membela rakyat sejak dua dekad lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page