
Ketaksuban penyokong Perikatan Nasional (PN) yang tular sejak beberapa hari lalu didakwa sanggup melafazkan taklik menceraikan isteri sekiranya Pengerusi PN Mahiaddin Yassin tidak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) pada bulan Ogos lalu mendapat teguran Menteri Besar Selangor.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketaksuban Pas-PN pada dekad 1980an dan gelombang takfiri mereka ketika itu tidak boleh dijenamakan semula dan diteruskan dalam negara majmuk seperi Malaysia.
Oleh itu, beliau berharap Pilihan Raya Kecil di Johor akan bebas daripada kempen ketaksuban memandangkan bangsa Johor berfikiran lebih terbuka.
"Saya bagi contoh yang agak jelas dalam soal seorang penyokong mereka yang ingin menceraikan isteri, menggantungkan isteri dengan tarikh PM (Mahiaddin angkat sumpah). Ini satu yang tidak bertanggungkawab dan dari segi hukum sangat bersalahan, satu perkara yang tidak wajar dibuat.
"Sifat taksub seperti inilah yang merosakkan keharmonian negara selama puluhan tahun, dan sekarang ini kita tidak boleh melayan, apatah lagi ketika kita ingin pulihkan negara bersama sama," katanya yang juga berasal dari Johor.
Menurut Amirudin, PN tidak seharusnya berdendam dan mahu merebut Kerajaan Persekutuan dengan apa sahaja cara kerana mereka pernah ditawarkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan dan mereka sendiri yang menolaknya.
"Mereka diundang sebelum ini tetapi mereka tak nak. Kalau tak nak, teruskanlah jadi suara pembangkang tetapi bukan kerja mereka nak rosakkan, menyemai ketaksuban yang merosakkan (keharmonian)," katanya selepas sesi walkabout di B5 Street Market, Johor malam tadi.
Comments