Rakyat Malaysia mahu kedamaian berkekalan di rantau Asia Barat dengan memerdekakan Palestin.
Harapan tersebut disaksikan dengan hadirnya hampir 20,000 rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka sejak pukul 10 pagi tadi menyatakan solidariti dan membantah kekejaman tentera rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai ramai di Gaza.
Himpunan 'Freedom For Palestine' yang dianjurkan oleh beberapa NGO itu menampilkan ucapan pelbagai tokoh hak asasi manusia, profesional dan termasuk ahli politik dengan tujuan berkongsi suara yang sama, membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel.
Dalam ucapan penutup himpunan, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, negara yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin perlu mencari mandat untuk perdamaian berkekalan di Asia Barat.
"Kita kena maju beberapa langkah ke depan. Sekarang kita mesti jelas dengan modus operandi. Kita perlukan semua mandat perdamaian (bersama negara yang mahu keamanan).
"Selepas ini kita pastikan dalam gerakan kita, semua mekanisme Israel tidak dapat legitimasi (untuk meneruskan keganasan).
"ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) mendapati Israel tiada hak mempertahankan diri di kawasan yang jelas milik rakyat Palestin. Ini mereka langgar," katanya.
Nurul Izzah dalam pada itu jelas kecewa dengan peranan yang dimainkan kuasa besar dunia, terutama Amerika Syarikat (AS) yang menyokong tindakan kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
Katanya, bukan AS yang menjadi juara demokrasi membawa resolusi mengutuk Israel di Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) tetapi negara seperti Brazil melakukannya, namun AS pula mengenepikan resolusi itu dengan veto.
"Mereka (Israel) bunuh, kepung, tindas. Maknanya tidak ada keamanan. Kerana itulah bila kita bangkit kenapa kita minta AS sokong.
"(Sebaliknya) resolusi PBB untuk bantuan kemanusiaan dibawa negara Brazil, seluruh dunia bersama kita.
"Yang tolak melalui veto pula AS," katanya.
Nurul Izzah memberi amaran bahawa kempen Israel ke serata dunia pada waktu ini agar dunia mengiktiraf mereka bertindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dengan apa jua kaedah.
Hal itu, kata Nurul Izzah tidak boleh dibiarkan kerana Israel telah menjajah bumi Palestin sejak 70 tahun lalu.
Rakyat Palestin sejak itu, katanya, telah menjadi pelarian dan diusir dari tanah air mereka sendiri.
Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia, katanya, perlu menyokong pembebasan Palestin daripada penindasan selama 7 dekad.
Comments