
Intimidasi penganjur Parlimen Digital dihubungi pihak polis selepas selesai sesi persidangan hari pertama secara atas talian semalam amat dikesali oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Menurut ketua pergerakan itu, Akmal Nasir, gangguan seperti itu tidak wajar berlaku di kala Ahli Parlimen parti pemerintah menggunakan pelbagai alasan untuk tidak bersidang membahaskan Rang Undang-undang yang perlu diluluskan menghadapi norma baharu kehidupan pasca wabak Covid 19.
"Tindakan intimidasi ini telah mengundang persoalan mengenai amalan kebebasan berpolitik khususnya dalam kalangan anak muda.
"Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya mengiktiraf kesungguhan 222 orang anak muda yang berani bersuara dan mempelajari kemampuan mereka mengadakan sidang ‘Parlimen’ di alam maya ketika perbahasan Parlimen Malaysia masih tidak berlaku untuk tahun 2020.
"Kerajaan seharusnya menghargai usaha beberapa kumpulan organisasi belia menganjurkan sidang Parlimen Digital yang menghimpunkan belia daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negara membincangkan polisi berkaitan ekonomi dan pendidikan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Akmal lagi, inisiatif Parlimen Digital mampu mendekatkan golongan anak muda terhadap urusan pentadbiran dan polisi negara serta mencerminkan kemampunan belia Malaysia yang akan menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.
"Oleh itu, saya mendesak pihak kerajaan menghentikan intimidasi terhadap mereka dan memberi jaminan mereka berbahas seterusnya tanpa tekanan daripada pihak berkuasa.
"Pada masa yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberikan sokongan terhadap kumpulan anak muda ini untuk terus bersuara mengetengahkan isu-isu seperti ekonomi anak muda, peluang pekerjaan dan sebagainya, di samping memastikan perbahasan Parlimen Digital diperhalusi dan hujahan mereka diangkat ke peringkat yang lebih tinggi," katanya lagi.
Parlimen Digital bersidang selama dua hari iaitu 4 dan 5 Julai bagi membuktikan persidangan Parlimen boleh dilakukan secara atas talian sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia dalam norma baharu pandemik Covid 19.