Hentikan EOT tanpa sebab kukuh, pastikan projek siap ikut jadual
- Suara Keadilan
- Jul 2
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) menggesa agensi pelaksana di Wilayah Persekutuan menghentikan amalan memberikan had lanjutan masa (EOT) secara sewenang-wenangnya kepada projek pembangunan yang lewat siap dihentikan segera.
Tegasnya, projek membabitkan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, dan projek berkaitan keselamatan negara termasuk perumahan anggota tentera perlu disiapkan tanpa kompromi.
"Ini bukan sahaja soal hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan asas yang sempurna, malah turut mencerminkan tahap keberkesanan tata kelola pentadbiran kerajaan.
"Kontraktor perlu bertanggungjawab mematuhi jadual yang telah dipersetujui. Amalan memberi EOT tanpa sebab munasabah adalah tidak sihat dan perlu dihentikan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Hantaran itu menyusul Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan di Putrajaya yang dipengerusikannya pada Selasa yang turut disertai wakil agensi Persekutuan dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Mesyuarat itu menjadi platform penting bagi menyelaras dasar pembangunan serta memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat Wilayah Persekutuan.
Sementara itu menurut Dr Zaliha, laporan Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menunjukkan sebanyak 648 projek fizikal dan 320 projek bukan fizikal direkodkan di Wilayah Persekutuan ketika ini.
Daripada jumlah itu sebanyak 402 projek dalam fasa prapelaksanaan, 461 projek sedang dilaksanakan, dan 104 projek di peringkat pascapelaksanaan.
"Agensi pelaksana perlu memantau rapat progres projek pembangunan ini secara teliti serta mengelak daripada meluluskan EOT secara sewenang-wenangnya, selaras usaha kerajaan meningkatkan ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam setiap projek pembangunan," tambahnya.
コメント