Henti ‘tunggang DAP’ sebagai modal politik - AMK Johor
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Menunggang DAP sebagai modal kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amatlah tidak wajar.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad, isu DAP ditimbulkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai modal politik amat tidak konsisten dengan realiti pemimpin UMNO Pusat yang bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan MADANI.
"Presiden UMNO setiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP dalam mesyuarat kabinet Kerajaan MADANI. Tak ada masalah pun?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Imbau Faezuddin, sebalum ini BN Johor tiada masalah berkempen bersama DAP sebelum, termasuk ketika Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu.
"Dulu BN tanding Mahkota, bukan main gerak sana sini berkempen bersama DAP. Sebab nak raih undi daripada pengundi bukan Melayu," ujarnya.
Sehubungan itu, Faezuddin mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang terus menjadikan DAP sebagai sasaran retorik politik, khususnya dalam kempen pilihanraya.
"Tolonglah, henti tunggang DAP sebagai modal kempen pilihan raya," tegasnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung dakwaan DAP merupakan ancaman kepada orang Melayu dan Islam yang tidak pernah dibuktikan oleh BN sewaktu mereka menjadi Kerajaan Persekutuan dahulu.
"Kalau benar DAP ancaman Melayu Islam, mengapa ketika Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri sebelum ini, pendaftaran DAP tidak dibatalkan?" katanya.
Justeru itu, kata beliau, kenyataan sedemikian menunjukkan percanggahan dalam naratif politik yang digunakan oleh pihak BN.
Faezuddin menegaskan bahawa politik matang seharusnya memberi tumpuan kepada dasar dan pembangunan, bukannya memainkan sentimen sempit demi kepentingan jangka pendek.
Untuk rekod, Datuk Onn Hafiz hari ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini.
"Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sekali-kali akan bersama DAP dalam kerajaan.
"Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.
"Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka," katanya dipetik ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Stadium Educity, Iskandar Puteri, hari ini.




Comments