Henti sikap ghuluw, budaya melabel, fitnah - YADIM
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Semua pihak agar mengurus perbezaan pandangan berkaitan agama, bangsa dan masa depan negara dengan ilmu, fakta dan adab, bukan sikap ghuluw (melampaui batas).
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) , Datuk Dr Hasan Bahrom, berkata perbezaan pendirian tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melabel pihak lain sebagai ancaman kepada Islam atau bangsa tanpa asas dan bukti kukuh.
"Tidak semua perbezaan dasar dan pendekatan boleh dianggap sebagai ancaman kepada Islam atau sesuatu bangsa, apatah lagi tanpa asas dan bukti kukuh mengaitkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan agenda penjajahan, menggadaikan akidah atau menghakis kedudukan Islam.
"Pendekatan sedemikian hanya akan menanam rasa takut dan curiga dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Hasan berkata, sikap ghuluw dan budaya melabel boleh membawa kesan besar terhadap masyarakat, termasuk merosakkan ukhuwah sesama Muslim.
Beliau turut bimbang sikap tersebut boleh menyebabkan masyarakat bukan Islam melihat orang Islam suka menimbulkan permusuhan melalui bahasa yang dibawa atas nama agama.
"Islam tidak menjadi lebih kuat apabila bahasa yang digunakan semakin keras.
"Dakwah seharusnya mendekatkan manusia kepada Islam, bukan menjadikan mereka semakin jauh kerana melihat umat Islam saling menyerang," katanya.
Sehubungan itu, YADIM menyeru semua pihak agar menghentikan budaya menyerang dan menabur fitnah terhadap mereka yang berbeza pandangan.
Sikap ghuluw tegasnya bukan akan hanya merosakkan ukhuwah umat, malah menyukarkan kerja dakwah dalam membina tamadun umat.




Comments