Suasana hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu dipanaskan lagi dengan perarakan golongan tertentu yang seolah olah mengapi apikan semangat 'perang'.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perarakan mengenakan kostum tentera abar pertengahan yang dibuat oleh anggota sebuah parti politik kelmarin dan tular di media sosial merupakan sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.
"Umum mengetahui negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik isu kaum, agama dan raja yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke 15 lalu. Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh 'memanaskan' keadaan.
"Maka sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa apa simbol berupa senjata atau military amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam," kata Saifuddin.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu jelas kesal dengan perarakan dalam program Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 (Himpit) kelmarin yang disiar dalam klip video berlatar belakang nasyid berbahasa Arab yang menekankan tema peperangan.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak untuk menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara.
"Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat
"Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ianya sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.
"Segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif," katanya lagi.
Justeru, Saifuddin mengajak rakyat agar menghayati konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar lebih bersederhana dan bertoleransi antara kaum di negara ini.
Kelmarin program Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 (Himpit) anjuran Pas dikecam banyak pihak kerana seolah olah persiapan berperang dengan beberapa pemuda mengenakan kostum ala tentera empayar Ottoman berarak ke lokasi perhimpunan sambil diiringi kenderaan pacuan empat roda membawa replika pedang Arab gergasi.
Comments