top of page

Henti normalisasikan 'fitnah dulu, minta maaf kemudian' - AMK

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menegur normalisasi budaya fitnah yang disulam dengan manipulasi agama demi kepentingan politik sempit.


Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, fitnah merupakan perlakuan tidak bermoral dan berbahaya kerana bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah merosakkan reputasi individu yang dituduh.


"Fitnah dalam politik ibarat racun. Sekali disebar, ia merosakkan reputasi, mencetus kebencian dan menipu rakyat dengan naratif palsu," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata begitu merujuk permohonan maaf oleh Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin.


Tambahnya, fitnah terhadap Fadhlina yang dimainkan sejak 2023 terbukti tidak benar, namun reputasi yang tercalar tidak pulih sekelip mata dan persepsi negatif yang telah ditanam tidak akan hilang hanya dengan satu permohonan maaf,


"Permohonan maaf tidak mampu menghapuskan kesan kerosakan yang telah berlaku. Tempoh tiga tahun penyebaran fitnah tersebut memberi kesan besar kepada persepsi rakyat, termasuk menjejaskan kepercayaan terhadap institusi pendidikan.


"Sepanjang tempoh itu, berapa ramai rakyat telah terpengaruh dengan cerita tidak benar yang disebarkan di pentas ceramah dan media sosial," ujarnya.


Kamil Munim sementara itu turut mengingatkan bahawa beban kesalahan fitnah tidak hanya ditanggung Zulkifli tetapi setiap individu yang menyebar luas naratif palsu tersebut.


"Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar amalan ‘fitnah dahulu, mohon maaf kemudian tidak dinormalisasikan dalam landskap politik negara.


"Ini taktik lama cipta tuduhan sensasi, mainkan emosi dan agama, kemudian minta maaf apabila terdedah," tegas beliau sambil mengingatkan isu perjuangan Palestin tidak wajar diperalatkan untuk kepentingan politik.


Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin bersama akhbar Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Fadhlina di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Ia susulan fitnah yang mendakwa Ketua Wanita KEADILAN itu melarang takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin di Sekolah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page