top of page

Henti keganasan di Sudan, elak malapetaka kemanusiaan - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 days ago
  • 2 min read

Keganasan berpanjangan di Sudan memangsakan orang awam. Kredit foto: Reuters
Keganasan berpanjangan di Sudan memangsakan orang awam. Kredit foto: Reuters

Oleh: Helmi Foad


Malaysia menyeru agar keganasan di Sudan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa ketika krisis kemanusiaan yang kian meruncing di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di wilayah tersebut dengan menyifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan.


"Laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah pembunuhan beramai-ramai adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.


"Malaysia menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan supaya orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya dalam hantaran di Facebook.


Anwar berkata Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa komuniti antarabangsa supaya bertindak tegas untuk menghentikan penderitaan, memulihkan akses kemanusiaanserta menyokong proses ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.


Perang saudara di Sudan yang kini memasuki tahun ketiga telah menjadi antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia, demikian menurut laporan media antarabangsa.


Pertempuran antara tentera nasional Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah meragut lebih 150,000 nyawa serta memaksa kira-kira 12 juta orang melarikan diri dari kediaman mereka, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Perkembangan terkini yang memburukkan keadaan berlaku apabila RSF menawan bandar El Fasher, iaitu bandar utama terakhir di wilayah Darfur yang dikuasai tentera, selepas 18 bulan pengepungan yang memerangkap puluhan ribu orang awam.


Pertempuran yang bermula di ibu negara Khartoum kini merebak ke seluruh negara, terutama di wilayah Darfur yang bersejarah dengan konflik etnik dan keganasan.


Sementara itu, usaha diplomatik diketuai oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir masih gagal menghasilkan gencatan senjata, walaupun mereka mengecam keras kekejaman dan mendesak pembukaan laluan bantuan kemanusiaan segera, lapor Al-Jazeera.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page