Henti budaya buli di sekolah, pinda Akta Pendidikan - Abun
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Kes kematian melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina sewajarnya membuka mata banyak pihak terhadap sebarang perlakuan tidak baik atau jenayah di sekolah sehingga menyebabkan kecederaaan atau kematian.
Sehubungan itu, Senator Abun Sui Anyit (gambar) menggesa tindakan segera dan tegas perlu diambil untuk menghentikan budaya buli di sekolah dan asrama di seluruh negara, yang menurut beliau boleh membawa akibat buruk kepada sistem pembelajaran.
"Kegagalan menangani isu ini secara menyeluruh boleh membawa kepada penderitaan fizikal, emosi, malah kehilangan nyawa," kata Abun dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan tanggungjawab menjaga disiplin pelajar, ianya masih belum cukup dan memberi perhatian khusus untuk membanteras buli.
Oleh itu, Abun mencadangkan agar dilakukan pindaan ke atas Akta Pendidikan bagi mendefinisikan buli secara jelas dan menetapkan hukuman, sama ada berbentuk disiplin dalaman atau prosiding jenayah.
Penetapan tanggungjawab undang-undang kepada pihak pengurusan sekolah dan asrama untuk melaporkan kes buli kepada pihak berkuasa perlu dijadikan mandatori.
Selain aspek undang-undang, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu turut menekankan kepentingan pencegahan melalui pendidikan awal.
"Modul pendidikan anti-buli mesti dimasukkan dalam kurikulum sekolah, disertai program kesedaran melibatkan pelajar, guru, ibu bapa, dan komuniti setempat," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar latihan khusus kepada warden asrama dan guru kaunselor untuk mengesan tanda awal buli, selain penyediaan saluran laporan yang selamat dan sulit untuk mangsa atau saksi.
Menurutnya, mangsa juga perlu diberi akses segera kepada rawatan perubatan dan sokongan psikologi.
"Kita tidak boleh lagi berkompromi terhadap budaya buli. Kes Zara Qairina adalah isyarat jelas bahawa tindakan separuh hati tidak mencukupi. Semua pihak mesti melihat isu ini sebagai darurat sosial yang memerlukan langkah bersepadu dan segera," kata beliau lagi.