Hentam Rumah Bangsa: Presiden Pas teruskan politik melabel, monopoli Islam
- Akmal Manaf

- 4 minutes ago
- 2 min read

Tulisan Minda Presiden Pas oleh Hj Hadi Awang yang menyindir usaha dialog parti-parti politik Melayu Islam diusahakan UMNO, dikritik kerana dilihat menggunakan pendekatan ala 'khawarij' parti itu yang gemar melabel dan meragui keikhlasan pihak lain dalam perbezaan pandangan politik.
Kritikan itu dibuat oleh Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (gambar) yang berkata kenyataan tersebut mengandungi pelbagai tuduhan dan metafora seperti 'bisikan syaitan', 'hantu raya' hingga mempertikaikan amalan pihak lain seolah-olah hanya Pas yang membawa Islam manakala orang lain dianggap tersasar atau dipengaruhi unsur menyesatkan.
"Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain. Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik.
"Tradisi Islam di negara ini sejak dahulu menekankan hikmah, kesederhanaan dan adab dalam berbeza pandangan, bukan budaya melabel dan merendah-rendahkan sesama sendiri.
"Ketika pelbagai pihak cuba membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara, pendekatan menghina serta menolak usaha ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mujahid yang juga mantan Menteri Agama menyeru orang Melayu dan umat Islam agar menolak politik memonopoli agama untuk menyerang dan merendahkan pihak lain.
Beliau menegaskan, Malaysia memerlukan politik yang rahmah, beradab dan menyatukan, bukannya politik yang memecah-belahkan masyarakat dengan retorik agama yang sempit dan penuh prasangka.
Semalam, menerusi 'Minda Presiden Pas' yang ditulis Abdul Hadi di Facebook rasmi beliau, antara intipatinya ialah Pas telah menghantar pemerhati satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa yang diiklankan UMNO bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir.
Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkara tersirat dapat dibaca dalam pertemuan itu.
"Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat.
"Dapat disaksikan betapa penyakit was-was daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli UMNO sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal UMNO yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya.
"Sehinggakan, ramai yang keluar meninggalkan rumah yang tercabut dinding dan ditebuk atapnya kerana mudah dimasuki air dan ditiup angin.
"Dalam kalangan pemimpin UMNO, ada yang berpegang dengan kepercayaan Melayu sebelum kepercayaan terhadap Islam, yang memestikan mereka bersahabat dengan semua pihak tanpa pilihan demi kemenangan untuk mendapatkan kuasa dan harta," katanya dipetik.




Comments