Heal & Fun: Ruang selamat belia Batang Kali bina kesejahteraan emosi
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan golongan muda.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan kira-kira 500,000 rakyat Malaysia mengalami gejala kemurungan.
Situasi semakin meruncing selepas pandemik Covid-19, dengan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan ketara masalah kesihatan mental berpunca daripada tekanan hidup, kos sara hidup yang meningkat, pengaruh media sosial, krisis identiti serta kekurangan sokongan keluarga.
Menyedari keperluan mendesak untuk menangani isu berkenaan, Pusat Khidmat Penyelaras DUN Batang Kali dengan kerjasama Team Selangor, Penggerak Belia Selangor (PeBS) Zon 14 serta Kelab Rekreasi dan Sukan Batang Kali telah menganjurkan sesi Heal & Fun: Sembang Jiwa pada Sabtu lalu.
Acara bersempena Program Drip & Kopi Fest 2025 di Oasis Street, Batang Kali itu bertujuan menyediakan ruang selamat kepada golongan muda untuk berinteraksi, berkongsi pandangan serta membina kesejahteraan emosi secara sihat dan inklusif.
"Pusat Khidmat Penyelaras DUN Batang Kali sentiasa mencari inisiatif bagi membentuk sistem sokongan yang mampan kepada golongan belia.
"Diharap pendedahan berkaitan isu kesihatan mental ini dapat menjadi permulaan yang baik dalam melestarikan kehidupan sihat dalam kalangan masyarakat.
"Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini," kata Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sesi tersebut dihadiri kira-kira 60 orang remaja setempat, dengan pelbagai tips serta nasihat berkaitan isu kesihatan mental dikongsikan oleh jurulatih kesihatan, Tuan Baharom Harun.
Selain sesi berkaitan kesihatan mental, Program Drip & Kopi Fest turut mengetengahkan budaya kopi (coffee culture) sebagai salah satu potensi ekonomi yang boleh diceburi golongan belia.
Pengunjung yang hadir turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain termasuk boot fesyen jalanan, seni kreatif serta aktiviti komuniti lain yang berimpak sosial.





