Hayati semangat perjuangan tokoh kemerdekaan - David Cheong
- Suara Keadilan

- Aug 22
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Seluruh rakyat khususnya generasi muda di negara ini, diseru menghayati semangat perjuangan tokoh kemerdekaan dengan pendekatan lebih segar dan relevan, iaitu menegakkan keadilan, menolak politik kebencian sekali gus memperkukuh semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.
Seruan itu disampaikan oleh Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young sempena kedatangan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dengan tema 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni'.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia khususnya di Selangor yang menjadi mercu pembangunan dan perpaduan, harus diingat bahawa kemerdekaan tidak hanya bermakna bebas daripada penjajah, tetapi menuntut masyarakat untuk merdeka daripada segi pemikiran, memperkukuh nilai persaudaraan, dan menolak sebarang unsur yang boleh memecah-belahkan masyarakat majmuk.
"Kami menegaskan bahawa perpaduan adalah tunjang utama kepada kemakmuran negara. Tanpa semangat saling menghormati dan memahami antara kaum, agama dan budaya, segala pencapaian yang dibangunkan sejak merdeka akan mudah terhakis.

"Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga ucapan, tingkah laku serta tindakan agar tidak mencetuskan sengketa yang merugikan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan sambil menyeru rakyat di negara ini mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa cinta dan bangga.
David yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang turut menyifatkan bahawa kemerdekaan bukan warisan yang boleh diambil mudah, namun ia merupaka amanah yang mesti dipertahankan dengan kesungguhan dan tanggungjawab.
"Semoga kemerdekaan ini menjadi pemangkin kepada usaha membina Malaysia yang lebih teguh, sejahtera, demokratik dan makmur untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang," ujarnya lagi.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai inisiatif di peringkat komuniti, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.









Comments