Hayati semangat pengorbanan Aidiladha demi masa depan umat
- Suara Keadilan

- May 27
- 1 min read

Umat Islam diseru agar terus menghayati semangat pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha sebagai asas membina masa depan yang lebih baik.
Dalam perutusannya hari ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan bahawa Aidiladha bukanlah sekadar perayaan, sebaliknya membawa makna mendalam dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
"Aidiladha hadir membawa seribu makna tentang pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut mengingatkan bahawa hari yang penuh bermakna ini mengangkat kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S sebagai teladan utama dalam kehidupan.
"Hari yang penuh bermakna ini mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S tentang nilai sabar, reda serta keikhlasan dalam melaksanakan perintah Allah SWT," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar tidak melupakan nilai kemanusiaan di sebalik kesibukan kehidupan seharian, termasuk menyantuni insan di sekeliling dan menghargai hubungan sesama manusia.
"Di sebalik segala kesibukan harian, semoga kita tidak pernah lupa untuk terus menyantuni insan di sekeliling, menghargai setiap hubungan dan berkongsi rezeki dengan hati yang penuh ikhlas," jelasnya lagi.
Justeru itu, Fuziah berharap sambutan Aidiladha kali ini membawa ketenangan, keberkatan dan kebahagiaan kepada seluruh umat Islam.
"Semoga Aidiladha ini membawa ketenangan, keberkatan dan kebahagiaan buat semua, Insya-Allah. Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha," katanya.




Comments