top of page

Hayati semangat Hijrah, pentingnya perpaduan, kerjasama - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menghayati semangat Maal Hijrah sebagai asas kepada pembaharuan, perpaduan dan pembangunan masyarakat yang lebih adil serta sejahtera.


Beliau berkata, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW bukan sahaja mencerminkan perjuangan dan pengorbanan, malah menonjolkan peranan penting pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda dan wanita dalam menjayakan misi besar tersebut.


"Teladan daripada peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW menyaksikan peranan instrumental anak muda seperti Saidina Ali Abi Talib, sumbangan wanita seperti Asma Abu Bakar dan ramai sahabat mengatur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Hijrah Nabi ke Madinah sebagai suatu yang unik dan istimewa," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut beliau, kejayaan Hijrah merupakan hasil usaha berpasukan yang berlandaskan kesatuan iman dan kebergantungan kepada Allah SWT.


Anwar juga menegaskan bahawa menzahirkan semangat Hijrah dalam realiti semasa bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kesepakatan serta kerjasama semua pihak.


"Kejayaan tidak akan hadir hanya dengan retorik slogan dan semangat bersendirian, tetapi harus dilakukan bersama dengan penuh kesabaran menuju kemenangan," katanya.


Beliau berkata, usaha pembaharuan berteraskan semangat Hijrah perlu menumpukan kepada nilai keadilan, kebenaran, kemakmuran dan keselamatan yang dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.


"Kemahuan dan harapan melakukan pembaharuan atas esensi Hijrah untuk menegakkan keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan harus menjadi ikhitiar bersama dan bukan milik sesiapa," ujarnya.


Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa perpaduan dan kerjasama merupakan elemen penting dalam mencapai kejayaan serta merealisasikan cita-cita perubahan.


Beliau memetik firman Allah SWT yang menekankan ganjaran besar kepada mereka yang berhijrah di jalan-Nya sebagai motivasi kepada umat Islam untuk terus berusaha dan berkorban.


PM menegaskan bahawa semangat Hijrah harus diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai simbol pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan perpaduan demi kebaikan bersama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page