Hayati Rukun Negara, junjung titah Yang di-Pertuan Agong - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) menyeru rakyat Malaysia agar menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas memperkukuh perpaduan dan kestabilan.
Beliau berkata demikian sebagai menjunjung titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
"Saya dan Jabatan Perdana Menteri dengan penuh takzim menjunjung titah dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar agar seluruh rakyat Malaysia menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara bagi menjamin perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, kemakmuran ekonomi dan kemasukan pelaburan yang dinikmati negara ketika ini adalah hasil daripada keharmonian kaum dan kestabilan politik yang berpandukan prinsip tersebut.
"Wajib kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT ini dan berdoa agar Malaysia tidak bergelut seperti negara lain dalam menghadapi krisis bekalan dunia," katanya.
Tambah beliau, titah Seri Paduka Baginda turut mengukuhkan pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini menzahirkan keprihatinan terhadap hubungan antara kaum dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, perkara itu membuktikan Raja-Raja Melayu sentiasa prihatin terhadap isu perpaduan serta kestabilan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia agar meneladani titah Yang di-Pertuan Agong dan kembali menghayati Rukun Negara demi memastikan negara terus aman, stabil dan maju untuk semua.




Comments