Tanggal 12 Rabiulawal umat Islam seharusnya mengenang keperibadian dan sunnah yang ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam Malaysia mengambil pelajaran mengenai asas keimanan yang ditekankan oleh Rasullulah sempena Maulidur Rasul, iaitu sikap tidak membeza-bezakan antara kaum dan warna kulit.
Katanya, Islam meletakkan darjat manusia sama rata kecuali kelebihan kepada mereka yang bertakwa dan beramal soleh.
"Dalam khutbah haji terakhirnya, baginda telah merumuskan setiap insan, tanpa mengira agama dan bangsa, adalah sama darjatnya.
"Tiada kemuliaan seorang Arab ke atas bukan Arab dan sebaliknya, kecuali atas dasar takwa. Kesedaran semua manusia itu berasal dari Adam, dan Adam pula berasal dari tanah menyerlahkan keunggulan nilai dan akhlak Islami yang merentasi jalur kaum dan ideologi.
"Justeru sambutan mengenang sosok mulia ini tidak wajar hanya dijadikan sebagai sambutan tahunan, sebaliknya mesti disusuli dengan tindakan hasil penghayatan terhadap ajaran Baginda. Semoga kita dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk sentiasa mencontohi Baginda Nabi Muhammad s.a.w," katanya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul, hari ini.
Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu mahu pejuang kebenaran mengambil tauladan bagaimana gigihnya Baginda memperjuangkan ajaran Islam di tengah-tengah masyarakat jahiliah Arab yang menentang keras syiar pada peringkat awalnya.
"Dianugerahkan pangkat kenabian bererti dibebankan dengan suatu tanggungjawab yang besar. Untuk menyusup ke tengah-tengah masyarakat dan menyampaikan mesej tauhid, menongkah arus norma setempat, serta melancarkan perubahan buat mendobrak sistem jahiliyah yang usang, bukanlah suatu tugas yang mudah untuk diterima oleh sesiapa.
"Namun Nabi Muhammad s.a.w menyanggupi tugas itu. Justeru di sinilah antara lain, letaknya martabat kemuliaan dan semangat juang Baginda yang tinggi. Pandangan sarwanya tidak hanya bersifat utilitarian, sebaliknya ada juga sisi keyakinan pada yang Esa yang melampaui segala-galanya. Keyakinan cetusan dhamir inilah yang menjadi teras dalam keimanan seorang Muslim terhadap rencana Tuhannya.
"Islah dan taw‘iyyah yang berlangsung selama dua puluh tiga tahun di bawah kepimpinan Baginda berhasil membina suatu kekuatan baru yang mandiri dan tidak dapat ditumbangkan," katanya lagi.
Oleh itu, pada sambutan Maulidur Rasul ini, kata Anwar, umat Islam wajar memperbanyakkan selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w selain menginsafi asas-asas ajaran Islam di tengah-tengah masyarakat Malaysia yang dikepung fahaman assabiyah perkauman ketika ini.
Comments