top of page

Hayat damai AS-Iran ditentukan tindakan agresif Israel?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan Israel sebagai halangan terbesar kepada usaha merealisasikan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meskipun kedua-dua negara itu berpotensi mencapai persefahaman menerusi saluran diplomatik.


Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun terdapat pelbagai isu lain seperti program nuklear Iran, sekatan ekonomi dan ketidakpercayaan antara kedua-dua pihak, pendirian Israel berpotensi menggagalkan keseluruhan proses meskipun persetujuan dicapai antara Washington dan Tehran.


Beliau berkata, matlamat utama AS ialah memastikan kestabilan serantau, menjamin keselamatan laluan perdagangan dan tenaga, mengelakkan perang berskala besar serta mengawal program nuklear Iran melalui rundingan.


Namun ujar Azmi lagi, Israel mempunyai pendekatan yang berbeza kerana negara itu melihat Iran bukan sekadar cabaran berkaitan isu nuklear, sebaliknya sebagai saingan strategik utama yang berupaya mengubah keseimbangan kuasa di rantau berkenaan.


Azmi Abdul Hamid
Azmi Abdul Hamid

"Sebarang perjanjian yang membawa kepada pengurangan sekatan ekonomi terhadap Iran akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi, ketenteraan dan pengaruh geopolitik Iran.


"Keadaan itu dilihat oleh Israel sebagai ancaman kepada dominasi strategiknya di rantau Asia Barat.


"Sejarah juga menunjukkan Israel sering mengambil tindakan ketenteraan secara unilateral walaupun ketika proses diplomatik sedang berlangsung.


"Serangan terhadap sasaran yang dikaitkan dengan Iran di Syria, Lubnan dan wilayah lain telah beberapa kali meningkatkan ketegangan serantau serta menjejaskan usaha diplomasi antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.


Justeru, Cikgu Azmi berkata pihaknya berpendirian bahawa penyelesaian diplomatik mesti diutamakan berbanding peperangan.


Beliau turut menegaskan kedaulatan semua negara perlu dihormati tanpa sebarang campur tangan atau ancaman ketenteraan daripada mana-mana pihak.


"Tiada pihak termasuk Israel, harus dibenarkan menggagalkan proses damai melalui tindakan unilateral.


"Keamanan yang berkekalan memerlukan keadilan untuk rakyat Palestin manakala sebarang kerangka keselamatan serantau mesti dibina berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia," ujarnya lagi.


Untuk rekod, pemimpin Amerika Syarikat dan Iran menandatangani perjanjian menamatkan perang di Timur Tengah pada Rabu lalu.


Dalam perjanjian itu, Tehran bersetuju mengurangkan kadar uranium yang diperkaya sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan ekonomi secara besar-besaran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page