Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyokong penuh penganjuran Hari Wartawan Nasional 2023
atau HAWANA 2023.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil ketika merasmikan majlis Prapelancaran HAWANA 2023 di Wisma Bernama, Kuala Lumpur petang tadi.
"HAWANA 2023 bertemakan, “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” bakal diadakan di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei ini.
"Bagi pihak KKD dan Sekretariat Penganjur, sudah tentunya berasa amat teruja kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesudiannya untuk hadir dan seterusnya merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2023 pada 28 Mei ini," katanya.
Fahmi dalam ucapan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Roslan Ariffin dan warga kerja BERNAMA selaku agensi pelaksana HAWANA 2023 serta jabatan dan agensi di bawah KKD yang terlibat dan bertungkus lumus membuat persediaan sewajarnya bagi memastikan kelancaran dan kejayaan sambutan tersebut.
Beliau juga teruja kerana dimaklumkan HAWANA 2023 telah menerima sambutan amat menggalakkan dengan ramai pengamal media menerusi organisasi dan persatuan media tempatan dan antarabangsa yang menyuarakan hasrat untuk turut sama memeriahkan majlis berkenaan.
"Saya difahamkan, kira-kira 1,000 orang daripada kalangan wartawan, jurufoto, jurugambar dan penyiar akan berhimpun di Hotel Casuarina Meru di Ipoh untuk Majlis Kemuncak sambutan ini.
"Tidak ketinggalan juga, sejumlah besar wartawan dari negara negara ASEAN akan menyertai Forum Media yang diadakan
untuk membincangkan mengenai survival industri media khususnya di rantau ini," katanya.
Selain menganjurkan perjumpaan dan hari meraikan pengamal media, kata Fahmi, menerusi BERNAMA Kerajaan turut memperkenalkan Tabung Kasih@HAWANA dengan matlamat membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran hidup.
"Alhamdulillah kita telah pun menyantuni dua orang rakan kita iaitu bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd., Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung dan wartawan veteran, Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan akibat kanser usus.
"Sehubungan dengan itu, saya amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk Tabung Kasih@HAWANA demi menjayakan hasrat murni membantu rakan-rakan media kita," katanya.
HAWANA pertama kali diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) Kuala Lumpur
Bagaimanapun HAWANA tidak dapat diadakan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19. Manakala pada tahun 2022, HAWANA diterajui oleh Kementerian yang pada waktu itu dikenali sebagai Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKOMM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan BERNAMA, selaku penganjur yang turut dijayakan oleh Malaysian Press Institute bagi program forum yang diadakan pada pagi 29 Mei 2022.
Comentários