top of page

Hassan Karim rayu Kerajaan Sabah benarkan Asraf masuk temui keluarga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 41 minutes ago
  • 1 min read

Kerajaan Sabah dirayu supaya mempertimbangkan semula keputusan menghalang Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Asraf Sharafi daripada memasuki negeri itu.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), beliau dimaklumkan melalui laporan media bahawa Asraf tidak dibenarkan memasuki Sabah pada 30 Jun.


"Saya menerima maklumat melalui media bahawa seorang warganegara Malaysia bernama Asraf Sharafi telah tidak dibenarkan memasuki Sabah pada 30 Jun 2026, empat hari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau memahami bahawa Kerajaan Sabah mempunyai kuasa imigresen di bawah Akta Imigresen dan Perjanjian Malaysia 1963 untuk mengeluarkan Notis Amaran Sabah (NAS) namun berharap kuasa itu digunakan secara berhemah.


Hassan mengemukakan beberapa alasan mengapa Asraf wajar dibenarkan memasuki Sabah termasuk atas pertimbangan kemanusiaan.


"Rayuan saya kepada Pihak Berkuasa Imigresen Sabah supaya membenarkan Asraf Sharafi memasuki Sabah atas sebab kemanusiaan kerana beliau ingin pulang kepada isteri dan anaknya yang tinggal di Sabah," katanya.


Beliau turut berpandangan bahawa Asraf bukan ancaman kepada keselamatan negeri serta berhak menikmati kebebasan yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan bercakap dan berhimpun.


Menurut Hassan, tindakan mengeluarkan Notis Amaran Sabah terhadap Asraf berkemungkinan tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.


"Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia saya merayu kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah menggunakan jasa baiknya supaya membenarkan Asraf Sharafi memasuki Sabah untuk menemui anak isterinya," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page