Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang sebelum ini dilihat kritis terhadap beberapa dasar Kerajaan Perpaduan mengakui Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kesungguhan dalam memulihkan ekonomi negara.
Ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat minggu lalu, Hassan mengakui belanjawan yang dibentangkan itu banyak diisi dengan perkara-perkara positif.
"Bagi tahun 2023 kita ada belanjawan negara yang jumlahnya lebih besar berbanding sebelum ini dan saya merasa kita perlu menghargai usaha Ahli Parlimen Tambun sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri kerana memikul tanggungjawab urus negara dengan jumlah hutang besar dibawa dari kerajaan-kerajaan sebelum ini.
"Walaupun dalam masa beberapa bulan sejak terbentuknya kerajaan ini, banyak saya ucapkan dan tulis teguran kritikal, tetapi saya percaya takdir bahawa negara kita hari ini dipimpin seorang pemimpin yang mahu pulihkan negara dalam semua aspek supaya kita dapat melangkah ke hadapan," katanya.
Dalam perbahasan itu juga Hassan menyatakan keyakinan terhadap perjuangan Anwar untuk menghapuskan miskin tegar dan amalan rasuah di negara ini.
Melalui pengalaman tegasnya, terbukti apa yang sering diucapkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sebelum ini bukan retorik.
"Usaha Perdana Menteri dalam perjuangan untuk menghapuskan kemiskinan dan menegakkan keadilan bukan sehari dua, Sejak 1971 saya sudah mengenali beliau dan sebahagian umurnya habis di penjara kerana perjuangkan rakyat miskin di Kedah, di Baling.
"Walaupun saya keras menegur, namun saya nampak hasrat Tambun untuk basmi rasuah yang memang sudah menjadi sebahagian perjuangan beliau," kata Hassan.
Justeru katanya, walaupun belanjawan yang dibentangkan boleh dikritik namun beliau berharap semua Ahli Parlimen terutama dari blok pembangkang membuat ketetapan untuk menyokong Belanjawan 2023.
Dalam keadaan negara yang sering berdepan bencana alam, peruntukan dana untuk operasi dan pembangunan adalah sangat penting.
"Lagipun pada penggal lepas ketika mengetuai pembangkang, Anwar sendiri memberi sokongan kepada belanjawan yang dibentangkan," tegasnya lagi.
Comments