top of page

Hasil siasatan SPRM buktikan projek MyKiosk tiada elemen rasuah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 4
  • 2 min read

ree

Tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan Program MyKiosk, berdasarkan hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan perkara itu di Dewan Negara pada Rabu bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan yang ingin tahu hasil siasatan yang dilakukan suruhanjaya itu sebelum ini.


"Siasatan dilakukan susulan aduan yang diterima sebelum ini dan KPKT telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada SPRM pada 22 Mei lepas sebagai tanda ketelusan dan integriti kementerian.


"Hasil siasatan SPRM yang diumumkan pada 3 Julai mendapati tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan, sebaliknya hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari aspek tadbir urus," katanya dipetik.


Menurut Aiman Athirah, pada 2023, RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan MyKiosk 1.0 melibatkan 3,189 unit kios dengan kos RM48.18 juta. Manakala bagi 2024 pula, RM100 juta diperuntukkan untuk MyKiosk 2.0 melibatkan pembinaan 4,054 unit kios bernilai RM98.75 juta.


Kos siling bagi satu unit MyKiosk 1.0 ialah RM15,000 manakala bagi MyKiosk 2.0 pula adalah RM25,000 seunit dengan penambahan spesifikasi baharu.


"Hingga kini, kadar pengisian unit untuk MyKiosk 1.0 mencapai 94.39 peratus manakala MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07 peratus. Baki unit yang belum diisi, faktor seperti kesesuaian lokasi, kekurangan infrastruktur asas dan keadaan tapak yang belum siap dikenal pasti sebagai punca utama," katanya.


Sementara itu tambah beliau, satu pasukan petugas dalaman telah ditubuhkan bagi meneliti lokasi dan mempercepat pengisian, selain lawatan pemantauan bersepadu dan sesi libat urus bersama.

KPKT juga membenarkan PBT membuat penempatan semula kios mudah alih itu ke lokasi yang lebih strategik di kawasan tumpuan awam sekiranya aspek keselamatan dipenuhi dan mempunyai infrastruktur asas mencukupi


"Bagi memastikan pelaksanaan MyKiosk secara lebih berkesan dan menyeluruh, tiada halangan untuk PBT menempatkan semula kiosk ke kawasan yang lebih strategik," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page