Hasil siasatan kebakaran paip gas Putra Heights mula diumum esok
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Hasil siasatan tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu akan mula diumumkan esok melalui sidang media yang diadakan dua hari sekali, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau memaklumkan, dapatan siasatan itu akan mula diumum dalam sidang media Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dijadual diadakan esok.
"Kita telah ambil maklum semua klip video, laporan maklumat dan mula dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Selangor dalam taklimat beliau, iaitu dua hari sekali.
"Setiap hari akan ada sidang media membabitkan dasar, keputusan keseluruhan dan aspek siasatan, sama ada jenayah, kecuaian atau aspek teknikal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.
Amirudin menjelaskan siasatan kes letupan saluran gas akan menumpukan dua aspek membabitkan hal teknikal dan kesalahan jenayah.
"Saya boleh maklumkan siasatan akan merujuk kepada dua aspek sama ada aspek teknikal oleh jabatan seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Petronas dan pelbagai badan teknikal lain.
"Keduanya siasatan merujuk kepada kesalahan jenayah yang boleh direkodkan atau boleh dilibatkan," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata beberapa langkah kawalan akan dilaksanakan terutama pusat pemindahan sementara (PPS) bagi meningkatkan keselesaan dan privasi ekoran berlaku kesesakan.
"Kawalan akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan menentukan tempat perjumpaan bagi keluarga mangsa," jelasnya.
Kejadian pada Selasa lalu itu menjejaskan lebih 1,200 mangsa dengan sebanyak 87 kediaman musnah keseluruhannya.
Seramai 630 mangsa kini ditempatkan di dua PPS, manakala baki 624 lagi mendapatkan perlindungan di rumah saudara atau kenalan, menurut laporan media.
Comments