Hasil perancangan strategik lonjak keupayaan ekonomi Selangor
- Suara Keadilan

- Jul 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Keazaman dan perancangan strategik Kerajaan Negeri Selangor terus membuahkan hasil apabila negeri itu merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM432.1 bilion bagi tahun lalu, tertinggi dalam negara.
Pencapaian ini menjadikan Selangor negeri pertama dan satu-satunya yang melepasi ambang RM400 bilion untuk dua tahun berturut-turut, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia.
"Ini adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri merancang pertumbuhan ekonomi secara inklusif dan berimpak tinggi. Pertumbuhan KDNK Selangor yang stabil pada kadar 6.3 peratus tahun ke tahun, mengatasi purata nasional 5.1 peratus, membuktikan daya tahan serta potensi negeri,
"Prestasi cemerlang ini mencerminkan asas ekonomi negeri yang kukuh, keyakinan mampan pelabur serta usaha strategik negeri untuk memacu pertumbuhan berimpak tinggi dan inklusif.
"Ia membuktikan peranan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara," kata Invest Selangor menerusi satu kenyataan.
Sebagai rekod, Selangor menyumbang 26.2 peratus daripada jumlah KDNK negara pada tahun 2024, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Sektor perkhidmatan menjadi pemacu utama ekonomi Selangor dengan sumbangan 61.1 peratus KDNK, didorong perdagangan borong dan runcit, makanan, utiliti, pengangkutan, komunikasi serta kewangan.
Manakala, sektor pembuatan kekal penyumbang kedua terbesar dengan 29.1 peratus, dipacu industri elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, minyak, serta kelengkapan pengangkutan.
Bagi meneruskan momentum pertumbuhan ini, Invest Selangor akan menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 pada Oktober depan, yang bakal menghimpunkan pemain industri, pelabur dan usahawan dari seluruh dunia.
SIBS 2025 dijangka terus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan paling kompetitif di rantau ini, sekaligus menyokong usaha berterusan negeri untuk memperkasa ekonomi berkualiti tinggi.









Comments